Mohd Roji Kawi

Bau: Tentera Darat Malaysia (TDM) membuka empat lagi pos bagi meningkatkan kawalan di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, empat pos kawalan sempadan berkenaan akan dibuka tahun ini sebagai tambahan kepada 10 pos sedia ada.

Beliau berkata, kawalan perlu diperketatkan bagi membendung aktiviti rentas sempadan terutamanya pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) selain mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Kita berusaha sedaya upaya untuk mengekang pencerobohan dalam apa jua keadaan dan Ramadan baru-baru ini sahaja anggota kami menahan sembilan Pati dan dua tekong darat.

"Pembinaan empat lagi pos baharu tahun ini mampu meningkatkan lagi keupayaan anggota kami mengawal sempadan selain menggunakan aset seperti kenderaan ATV dan motosikal lasak," katanya ketika mengunjungi anggota TDM yang terbabit dalam operasi di sempadan di Pos Serikin, semalam.

Pada kunjungan itu, Dzulkafli turut berbuka puasa bersama anggota pada hari terakhir Ramadan selain bersama bertakbir raya di surau pos berkenaan.

Katanya, moral anggota TDM sentiasa berada di tahap tinggi meskipun bertugas di perbatasan ketika sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Leftenan Muhammad Shukri Ishak, 29. berkata, ini tahun kedua dia terbabit dalam operasi di kawasan sempadan ketika Aidilfitri.

Beliau dari Batalion Ke-13, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Kem Pakit, Sri Aman berkata, menyambut perayaan di kawasan operasi bukan tekanan kepadanya kerana sebelum memilih kerjaya sebagai pegawai tentera, dia sudah bersedia untuk menghadapi situasi seperti itu.

DZULKIFLI (barisan depan dua dari kanan) bertakbir raya bersama anggota di Kem JPG Serikin. FOTO Mohd Roji Kawi.
DZULKIFLI (barisan depan dua dari kanan) bertakbir raya bersama anggota di Kem JPG Serikin. FOTO Mohd Roji Kawi.

"Memang suasana raya dengan keluarga tak sama dengan menyambut perayaan itu bersama rakan setugas, tetapi kita kena tabah demi tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.

"Sudah sebulan saya bersama anggota terbabit dalam operasi di sempadan Malaysia-Indonesia, di Serikin, di sini," katanya yang berasal dari di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Bagi Lans Koperal Muhammad Iqra Abu Bakar, 26, yang juga menyambut perayaan untuk kali kedua berjauhan dengan keluarga, pula menganggap ia lumrah dalam kerjaya mereka.

"Di sini (kawasan operasi) ramai kawan-kawan yang bersama kita menyambut perayaan.

"Walaupun sambutan ala kadar, bagi kami ia sudah memadai," katanya yang berasal dari Kota Tinggi, Johor.

Anggota Batalion Ke-13 RAMD terbabit dalam operasi bersama Batalion Ke-11 RAMD di Kem Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG) Serikin di sini, selama tiga bulan dan dijangka menamatkan misi sebelum Aidiladha, Julai nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 12:55 PM