PATI yang cuba menyusup masuk melalui jalan tikus ditahan di Lubok Antu petang semalam. FOTO Ihsan Markas 1 Divisyen Infantri.
PATI yang cuba menyusup masuk melalui jalan tikus ditahan di Lubok Antu petang semalam. FOTO Ihsan Markas 1 Divisyen Infantri.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengusir 38 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyusup masuk ke negeri ini melalui jalan tikus dalam tempoh 10 hari bermula 8 April lalu.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri berkata, pada 12 April lalu 11 Pati termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan diusir iaitu jumlah paling ramai dalam tempoh berkenaan yang dikesan menggunakan jalan tikus di Tebedu pada jam 7 malam.

"Terbaru, seramai lapan Pati dikesan di jalan tikus di kawasan Lubok Antu pada jam 5 petang, semalam.

"Mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditahan ketika berjalan kira-kira 300 meter dari sempadan," katanya.

Beliau berkata, pelbagai alasan dan taktik digunakan oleh Pati untuk menyelinap masuk ke Malaysia berkemungkinan atas desakan hidup kesan daripada pandemik Covid-19 selain faktor menyambut bulan Ramadan.

"Semua Pati itu diusir selaras dengan matlamat Op Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Katanya, anggota TDM komited menggalas tanggungjawab meneruskan Op Benteng dalam mengekang aktiviti Pati menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 10:56 AM