Tan Sri Dr James Jemut Masing menunjukkan peta kawasan hulu Baleh kepada SAC Mancha Ata yang mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Tan Sri Dr James Jemut Masing menunjukkan peta kawasan hulu Baleh kepada SAC Mancha Ata yang mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


POS Pemeriksaan Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) perlu dibina di hulu Sungai Baleh dalam Bahagian Kapit bagi membendung kegiatan penyeludupan dan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pembinaan KIK berkenaan sudah dikenal pasti di Tapak Megah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Beliau berkata, KIK Tapak Megah akan melindungi penduduk tempatan di Long Busang daripada aktiviti haram rentas sempadan selain mengekang kemasukan Pati dari negara jiran.

"Long Busang dalam kawasan Sarawak berdekatan dengan Long Nawang dalam kawasan Indonesia yang mempunyai lebih 5,000 penduduk.

"Penubuhan KIK di Tapak Megah amat perlu untuk mengekang kehadiran Pati ke Sarawak menerusi laluan di kawasan pedalaman itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata di pejabatnya di Kuching, hari ini.

Pada pertemuan itu, Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak turut membincangkan soal keselamatan sepanjang perbatasan Sarawak-Kalimantan Barat khususnya di kawasan berdekatan sasaran penting seperti empangan hidro elektrik.

"Fokus utama kita sekarang ialah untuk mengetatkan kawalan keselamatan di sepanjang kawasan yang berdekatan dengan tiga empangan hidro elektrik iaitu Empangan Bakun dan Empangan Murum di Belaga serta Empangan Baleh di Kapit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 5:52 PM