Balqis Jazimah Zahari


Gopeng: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membantu penternak mendapatkan pinjaman bank sebagai langkah menyelesaikan isu kenaikan harga ayam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia antara langkah untuk membantu mengurangkan kos operasi ladang ternakan ayam sekali gus menurunkan harga ayam di pasaran.

Katanya, beliau sudah bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dua minggu lalu dan sudah dipanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sendiri untuk berbincang bagaimana kedua-dua Kementerian boleh menghasilkan satu kaedah terbaik untuk menangani masalah berkenaan.

"Satunya daripadanya mungkin hasil daripada libat urus KPDNHEP ini bersama persatuan penternak ayam itu, kita mendapat pandangan daripada mereka (penternak) tentang pemberian subsidi untuk harga dedak ayam.

"Selain itu, mereka lebih suka kalau mereka diberi 'soft loan' atau pinjaman mudah kerana kos operasi mereka juga naik bukan hanya kos dedak ayam sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan hasil perbincangan bersama beberapa pihak termasuk MAFI berhubung isu kawalan harga ayam yang tinggi.

Alexander Nanta melawat Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia Zon Utara di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Alexander Nanta melawat Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia Zon Utara di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Katanya, bagaimanapun semua idea dan kaedah itu masih di peringkat perbincangan dan pihaknya perlu meneliti secara keseluruhan sebelum akan diputuskan kelak.

"Walaupun kita hendak menangani masalah harga ayam ini, kita perlu juga mengambil kira dalam segala aspek ekonomi.

"Kalau kita hendak memberi sahaja subsidi kepada semua, ekonomi dan kemampuan daripada kewangan mungkin tidak dapat kita buat dengan secara berterusan sebab ia akan memberi beban.

"Tetapi jangan risau kita akan sampai ke satu keputusan nanti yang boleh membantu," katanya selepas selepas melawat Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia Zon Utara di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini, hari ini

Beliau berkata, hasil rundingan dan idea yang yang dibincangkan juga sudah disampaikan kepada pihak Kementerian Kewangan.

"Jadi kita berharap dengan pelaksanaan kaedah itu berkemungkinan kita boleh mengawal harga ayam di peringkat ternakan ayam, dedak ayam dan di setiap lapisan seperti pemborong.

"Perkara berkenaan naik dan turun harga ayam itu akan terjadi, cuma kita tidak mahu ia terlalu tinggi hingga membebankan rakyat kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 7:13 PM