Balqis Jazimah Zahari

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Perak mengeluarkan RM610,000 kompaun terhadap premis perniagaan dan industri pada Operasi Ops Gempur Zon Utara selama tiga hari pada 24 hingga 26 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, operasi secara bersepadu dengan kekuatan seramai 25 anggota itu bertujuan memastikan pihak industri sentiasa bersedia mematuhi kehendak perundangan ketika menjalankan operasi premis.

"Ops berkenaan berjaya menjalankan siasatan dan penguatkuasaan ke atas 54 premis di beberapa kawasan di dalam negeri ini.

"JAS turut mengeluarkan tindakan sebanyak 46 arahan di lapangan, 47 notis arahan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kesedaran Alam Sekitar 1974 serta dua kertas siasatan dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ops Gempur Zon Utara & Ops Gerak JAS Perak di Hentian Rawat dan Rehat (RNR) RTC Gopeng di Ipoh, hari ini.

AHMAD Saidi melakukan ujian meter asap terhadap salah satu lori yang diperiksa ketika Ops Gerak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di Hentian Rawat dan Rehat (RNR) RTC Gopeng. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
AHMAD Saidi melakukan ujian meter asap terhadap salah satu lori yang diperiksa ketika Ops Gerak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak di Hentian Rawat dan Rehat (RNR) RTC Gopeng. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Yang turut hadir, Pengarah JAS Perak Rosli Zul.

Ahmad Saidi berkata, bagi Ops Gerak selama tiga hari dari 25 hingga 27 Ogos pula, sebanyak 127 kenderaan diperiksa dan 42 kenderaan bermotor dikenakan ujian meter.

Katanya, Ops Gerak JAS Perak dilaksanakan dengan kekuatan 135 anggota penguat kuasa daripada JAS Perak bersama pelbagai agensi penguat kuasa.

"Sejumlah RM36,000 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melepaskan bahan pencemar melebihi standard yang ditetapkan dan enam kenderaan dikeluarkan perintah larangan beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 5:54 PM