Peniaga ayam di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam bersetuju jualan runcit ayam mula dijual di antara RM8.50 sehingga RM9.50 seekor bagi membantu pengguna mendapatkan harga ayam lebih berpatutan dan lebih banyak pilihan. FOTO FAIZ ANUAR
Peniaga ayam di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam bersetuju jualan runcit ayam mula dijual di antara RM8.50 sehingga RM9.50 seekor bagi membantu pengguna mendapatkan harga ayam lebih berpatutan dan lebih banyak pilihan. FOTO FAIZ ANUAR
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggerakkan lebih 1,000 pegawai pemantau harga dan lebih 2,000 anggota penguatkuasa khusus bagi menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dijalankan menerusi pemeriksaan Ops Catut 8.0 ke atas semua rantaian bekalan ayam di seluruh negara bagi memantau situasi berkenaan.

Katanya, kementerian tidak memandang ringan isu kenaikan harga ayam dan sentiasa memantau harga ayam bagi memastikan ia tidak mengalami lonjakan dan peniaga tidak cuba menaikkan harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.

"Data yang dikemaskini menunjukkan sepanjang tempoh pemeriksaan Ops Catut 8.0 membabitkan pengeluar, penternak, pengilang dan pemborong ayam bermula 5 hingga 22 September, sebanyak 268 premis diperiksa membabitkan 78 pemborong, 38 penternak, pengeluar dan pengilang serta 151 peruncit.

"Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 206 Notis Bertulis semakan harga kepada pemilik premis dikeluarkan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, tadi.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai langkah jangka panjang untuk memastikan keseimbangan harga ayam antara pengguna dan rantaian bekalan makanan itu.

Katanya, pihaknya turut membuat pemantauan ke atas 20 syarikat pengeluar ayam pedaging utama merangkumi tiga syarikat integrator dan 17 syarikat non-integrator.

"Pemantauan ini dilakukan bagi mengesan lebih awal risiko gangguan bekalan ayam pedaging di peringkat pengeluaran supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi memastikan bekalan ayam di pasaran sentiasa stabil.

"Unjuran pengeluaran ayam juga dilakukan setiap bulan bagi membolehkan kementerian merangka pelan tindakan sewajarnya sekiranya dijangkakan akan berlaku kekurangan bekalan ayam di pasaran.

"Unjuran pengeluaran secara bulanan itu mampu memastikan jumlah pengeluaran ayam mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia setiap bulan dan pada musim perayaan," katanya.

Menurutnya, hasil libat urus dan perbincangan bersama peniaga di peringkat runcit, sebanyak 508 premis membuat penurunan harga di seluruh negara di bawah RM 9.50.

"Kenaikan harga ayam berlaku disebabkan pelbagai faktor dengan yang utama ialah kenaikan makanan ayam iaitu dedak seperti jagung dan soya hampir 100 peratus diimport dari negara luar.

"KPDNHEP ada beberapa pelan tindakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran.

"Langkah ini akan kita laksanakan mengikut keadaan dan keperluan semasa supaya kita adil kepada semua pihak termasuk pengguna, peruncit, pemborong dan penternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 3:30 PM