DATUK Seri Dr Ronald Kiandee (kiri) melawat Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Tapah. FOTO ihsan Kementerian
DATUK Seri Dr Ronald Kiandee (kiri) melawat Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Tapah. FOTO ihsan Kementerian
Noor Hidayah Tanzizi


Gopeng: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyediakan Pelan Perancangan Pembangunan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak 2021-2025 bagi merancakkan aktiviti ekonomi selain dapat memberi kesan positif kepada peserta dan usahawan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia bakal meningkatkan aktiviti ekonomi sektor agromakanan negara melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

"Antara yang mendapat perhatian adalah pembangunan Medan Food Truck, Medan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS), Pusat Jualan Florikultur di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) RTC dan banyak lagi perancangan yang impaknya adalah supaya memberi keselesaan serta dapat menarik lebih ramai usahawan serta pengunjung ke RTC Perak supaya kelangsungan rantaian bekalan dan jaminan sekuriti makanan negara dapat dicapai.

"RTC Perak diwujudkan bagi meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat di mana pelbagai aktiviti bercorak nilai tambah yang tinggi dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

"Dua komponen penting yang diketengahkan di RTC Perak adalah perkhidmatan dan kegiatan ekonomi melalui tiga konsep utama penubuhan iaitu perkhidmatan kerajaan dan swasta, hub perniagaan dan kemudahan fasiliti serta pusat kegiatan belia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ronald melakukan lawatan kerja ke RTC Perak bagi meninjau fasiliti yang tersedia dan meninjau insentif di bawah Penjana bagi menjamin sekuriti makanan negara serta dapat merancakkan semula sektor agromakanan daripada keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Ketua Pengarah Fama Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.

Ronald berkata, RTC Perak juga adalah pusat pengumpulan dan pengedaran bagi program food bank yang mendapat kerjasama dengan pihak luar.

"Sebanyak lapan lot diperuntukkan di Blok A RTC Perak bagi menjayakan program yang bertujuan untuk membantu golongan tidak bernasib baik.

"Selain itu, RTC Perak menjadi pusat pengedaran bagi syarikat tenusu seperti Farm Fresh dengan nilai jualan yang dicatatkan adalah RM600,000 sebulan membabitkan 100 usahawan produk tenusu," katanya.

Menurutnya, RTC Perak juga mendapat perhatian Gopeng Berhad iaitu syarikat Bumiputera yang mengendalikan projek perladangan khususnya penanaman nanas MD2 dan turut dijadikan pusat pengumpulan, pengedaran dan pengeksportan buah itu.

Katanya, sehingga kini jumlah pengeluarannya dianggarkan sebanyak 200,000 kilogram (kg) bernilai RM500,000 untuk pasaran tempatan dan eksport.

"Secara keseluruhannya, nilai jualan RTC Perak adalah RM91.07 juta pada tahun lalu dengan membabitkan 92 peserta," katanya.

Sementara itu, Ronald turut melakukan lawatan ke Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) Tapah bagi meninjau perkembangan projek naik taraf prasarana dan bangunan di pusat itu bagi mendapatkan pensijilan Good Veterinary Health Practice (GVHP).

Katanya, pensijilan itu akan memastikan kualiti dan keselamatan susu yang dibekalkan menepati piawaian Good Manufacturing Practice (GMP) sekali gus memperluaskan pasaran produk serta dapat meningkatkan pendapatan penternak.

"Ini juga selaras dengan usaha kementerian untuk membolehkan PPIT Tapah menyediakan ruang pemprosesan bagi membantu penternak dan koperasi terbabit dalam aktiviti hiliran dengan menghasilkan produk nilai tambah yang berasaskan susu seperti susu berperisa, dadih, aiskrim dan sebagainya.

"PPIT ini berfungsi untuk membantu penternak dan koperasi yang terbabit sebagai tempat pengumpulan dan penyimpanan susu segar sebelum dihantar ke kilang pemprosesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:49 PM