Ipoh: Sudah menjadi kebiasaan bagi peniaga bazar membuat persiapan untuk memulakan perniagaan masing-masing menjelangnya Ramadan esok.

Bagi peniaga lauk-pauk kampung, Noor Azlina Abd Wahab, 37, dia tiba di tapak bazar di Stadium Indera Mulia di sini sejak pukul 4 petang untuk meletakkan meja dan melakukan perhiasan di tapaknya.

"Saya sewa dua tapak di sini dengan setiap satunya RM350 selama tempoh berpuasa ini. Dari segi perhiasan, saya menempah kain rentang yang berharga RM150 dan mencantikkan sedikit dekorasi meja," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Menurutnya, tahun ini tahun ketujuh dia berniaga di tapak itu dan masih mengekalkan juadah berbuka seperti gulai masak lemak, gulai lemak pucuk, siput sedut, kerabu perut dan sebagainya.

"Cuma ada tiga pekerja sahaja yang diperlukan. Makanan yang kami jual sama sahaja seperti yang dijual di restoran kami (Restoran Sabar Menanti)," katanya yang turut berniaga di dua lagi bazar iaitu di Bercham Raya dan Medan Gopeng.

Penjual ayam golek, Majuriri Yusoff, 41, berkata, dia akan ke pasar pada awal pagi bagi mendapatkan bekalan ayam untuk jualan di tiga bazar iaitu di Stadium Indera Mulia, Silibin dan Taman Cempaka.

"Harga untuk menjual seekor ayam golek bergantung kepada harga pasaran," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Mydin Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, kelihatan orang ramai mula membeli barang keperluan asas untuk membuat persediaan menyambut hari pertama berpuasa esok.

Menurut seorang suri rumah, Rapidah Shaari, 56, perbelanjaan sebagai persediaan menyambut Ramadan meningkat daripada RM200 kepada RM300.

"Perbelanjaan bagi persediaan kali ini lebih banyak berbanding hari yang lain, kita perlu menyediakan barang keperluan lebih daripada biasa," katanya.

Bagi Zaiton Hamdan, 54, pula, dia membeli barang keperluan secara borong untuk disimpan sebagai stok harian semasa Ramadan.

"Di sini lebih murah untuk dibeli secara borong. Harga ikan juga murah berbanding di kedai lain," katanya. BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 9:08 PM