BERNAMA

Gopeng: Tiga lagi Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makan (DC) Food Bank Malaysia akan diwujudkan di Johor, Melaka dan Kelantan sebagai inisiatif peduli rakyat yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pusat berkenaan dicadang dibuka dalam masa terdekat ialah di Zon Selatan di bandar raya Johor Bahru dan bandar raya Melaka manakala di Kota Bahru mewakili Zon Pantai Timur. Kini terdapat sebuah pusat pengumpulan sedia ada di Kajang, Selangor bagi Zon Tengah.

"Kementerian mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai pihak untuk bekerjasama dengan KPDNHEP melalui Sekretariat Food Bank Malaysia bagi memanfaatkan pengoperasian Pusat DC Food Bank ini dan diharap lebih ramai tampil untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya golongan B40," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena lawatan ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia Zon Utara di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

"Untuk makluman, bermula sejak 2018 salah satu program berbentuk tanggungjawab sosial yang diterajui oleh kementerian ini adalah Program Food Bank Malaysia," katanya.

Menurut beliau sehingga 28 Sept lepas, seramai 630,754 orang dari golongan B40 serta 19,954 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah menerima manfaat daripada inisiatif food bank itu di seluruh negara.

Alexander (tiga, kanan) mengedarkan kotak minuman ketika lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia (PFBM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini. FOTO Bernama.
Alexander (tiga, kanan) mengedarkan kotak minuman ketika lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan Food Bank Malaysia (PFBM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng hari ini. FOTO Bernama.

Beliau berkata sesi lawatan kerja pada hari ini juga merupakan suntikan semangat kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Program Food Bank Malaysia bagi memastikan inisiatif itu dapat membantu meringankan kos sara hidup masyarakat yang terbeban melalui pelbagai sumbangan makanan.

"Usaha ini dapat dimanifestasikan dengan bukti keprihatinan kerajaan dan usaha-usaha syarikat swasta dalam membantu dan meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Pusat DC Food Bank Malaysia Zon Utara itu merupakan jalinan kerjasama strategik antara KPDNHEP, Rakan Strategik Utama Program Food bank Malaysia, Kumpulan Legasi Z Sufi dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam mewujudkan hub berpusat bagi pengumpulan dan pengagihan sumbangan dan lebihan makanan melalui konsep food bank.

Terdahulu, beliau meninjau pelaksanaan Program Vaksinasi Industri Peruncitan (PPVIN RiVAC) di AEON Midtown Falim di Ipoh yang diberikan terhadap petugas sektor ekonomi dan peruncitan yang bermula 7 Sept lepas hingga 5 Okt ini.

Katanya sehingga 28 Sept lepas, seramai 55,989 pekerja barisan hadapan sektor peruncitan telah menerima vaksin dos pertama manakala seramai 48,245 orang telah lengkap dos kedua melalui 10 PPVIN RiVAC di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 8:21 PM