GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izad Thaqif Hassan

Kubang Pasu: Gelap mata kerana mahu wang mudah membuatkan pengurus kedai pajak gadai mencuri barang kemas bernilai RM183,960 di tempat kerjanya di Changlun, dekat sini.

Barangan kemas pelanggan yang dicuri itu kemudian dipajak pula ke sebuah cawangan bank di Changlun dan wang terbabit diambil untuk kegunaan peribadi suspek berusia 41 tahun terbabit.

Perbuatan pengurus lelaki terbabit bagaimanapun dikesan pemilik premis berusia 60 tahun bergelar Datuk pada 10 September lalu, selepas meneliti laporan audit perniagaan.

Difahamkan, pengurus berkenaan menggunakan taktik membuat penebusan barang emas tanpa kehadiran pelanggan, namun perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis itu.

Menurut sumber, suspek dipercayai mencuri barang kemas yang digadai menggunakan identiti dua wanita yang sebenarnya tidak pernah hadir ke premis bagi melakukan proses penebusan.

"Selepas meneliti rakaman CCTV dan berjaya mengumpul bukti, pemilik kedai pajak gadai membuat laporan polis berhubung kejadian pada 14 September lalu.

"Susulan daripada itu, suspek berjaya ditahan pada Rabu lalu, dan direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kecurian barang kemas itu membabitkan cincin, subang, gelang, rantai dan loket emas yang digadai pemiliknya sejak Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan kejadian dan suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 5:21 PM