Raja Noraina Raja Rahim


PERBUATAN pekerja kedai pajak gadai di Sri Gombak, menukar emas tulen dengan emas palsu membabitkan kerugian lebih RM5,000 terbongkar selepas disedari majikannya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, perbuatan wanita berusia 31 tahun itu terbongkar apabila pengurus kedai melakukan semakan terhadap emas yang digadai pelanggan.

Menurutnya, pengurus itu membuat laporan polis pada 6 Ogos lalu berhubung kejadian itu.

"Suspek yang diamanahkan menerima emas yang dipajak pelanggan mengambil kesempatan menukar emas tulen itu dan menggantikan dengan emas palsu.

"Antara barangan kemas diambil adalah seutas rantai dan dua gelang. Suspek kemudian memajak emas berkenaan di kedai pajak gadai lain termasuk satu di Terengganu membabitkan nilai keseluruhan RM5,300," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.

Arifai berkata, bertindak atas laporan, polis menahan suspek di rumahnya di Sri Gombak dan soal siasat suspek mengaku melakukan perbuatan itu.

Katanya, polis berjaya menemui semula barangan kemas yang digadai suspek dan dia kini direman lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Arifai berkata, polis Gombak mengeluarkan 115 kompaun atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun hingga semalam.

"Antara kesalahan dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka, aktiviti kelab malam, aktiviti membabitkan kehadiran ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, premis tidak menyediakan buku catatan masuk dan pengimbas suhu serta tidak mendaftar masuk ke premis.

"Kita dapati sehingga kini masih ada individu yang degil dan ingkar arahan PKPP. Namun keseluruhan pematuhan di daerah ini pada tahap baik," katanya.

Katanya, polis akan sentiasa memantau pematuhan dan akan mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar arahan PKPP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 3:46 PM