ORANG ramai beratur di sebuah kedai pajak gadai di Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
ORANG ramai beratur di sebuah kedai pajak gadai di Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
BERNAMA

TIADA yang luar biasa mengenai kunjungan ramai pelanggan ke beberapa premis pajak gadai semalam dan hari ini, dengan Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia (MPBA) menganggapnya sebagai rutin biasa.

Presiden persatuan itu Tan Ho Keng berkata, pelanggan berkenaan mahu menyelesaikan urusan mereka yang tertangguh selepas pajak gadai ditutup sejak 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau memberitahu, pelanggan berkenaan mengunjungi kedai pajak gadai untuk menebus barang kemas yang digadai, membuat pembayaran faedah, melanjutkan tempoh gadaian selain segelintir yang membuat pajakan.

Selepas 47 hari tidak beroperasi, katanya, premis pajak gadai kembali dibuka semalam susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Jumlah pelanggan nampak ramai semalam kerana mereka ikut peraturan dengan beratur mematuhi jarak sosial satu meter. Hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan memasuki premis pada satu-satu masa berbanding sebelum ini, kami benarkan 10 pelanggan masuk ke dalam premis," katanya semasa dihubungi Bernama, hari ini.

Tan memberitahu sepanjang PKPB, operasi premis pajak gadai dihadkan kepada lima jam sahaja iaitu dari 9 pagi hingga 2 petang.

Beliau menjelaskan kebanyakan pelanggan yang mengunjungi premis kerana mahu menebus barang kemas mereka.

"Aidilfitri tidak lama lagi, jadi ramai pelanggan datang untuk tebus kerana ingin memakai barang kemas kepunyaan mereka nanti," katanya.

Mengenai lanjutan tempoh pembayaran, beliau berkata, pelanggan yang sudah mencapai tempoh matang untuk membuat pembayaran pajakan bagi tempoh 18 Mac hingga 12 Mei tidak perlu bimbang kerana lanjutan pembayaran adalah secara automatik.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah premis pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Gombak mendapati ramai pelanggan datang untuk melanjutkan tempoh gadaian barang kemas mereka.

Pelanggan kedai itu yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah, 35, memberitahu beliau tidak dapat menyelesaikan urusannya kerana waktu operasi di premis itu dipendekkan sehingga 2 petang.

"Saya ke sini untuk bayar upah simpan bagi gelang emas yang sudah tertangguh tiga bulan. Saya ingatkan (premis) buka seperti biasa tetapi sampai 2 petang sahaja," katanya.

Di Kuala Terengganu, tinjauan mendapati ramai pelanggan dapat menebus barang kemas dan melanjutkan tempoh gadaian selepas membuat pengeluaran i-Lestari daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan kerajaan berikutan pelaksanaan PKP.

Pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, 32, berkata pengeluaran i-Lestari memberinya sumber kewangan yang lebih untuk membayar ansuran gadaian gelang emas yang dipajaknya beberapa bulan lepas.

"Saya membayar secara ansuran pajakan gelang itu sehingga Julai ini dan akan dapat menebusnya sebelum tamat tempoh pajakan. Jadi, pengeluaran duit KWSP (i-Lestari) itu memberi sumber yang lebih untuk membayar pajakan emas," katanya.

Di Ipoh, hari kedua pelaksanaan PKPB menyaksikan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan jarak sosial semasa berurusan di premis pajak gadai termasuk di Jalan C. M. Yusuff.

Pesara swasta yang mahu dikenali sebagai Aziman, 65, berkata beliau beratur lebih sejam demi menebus rantai emas isterinya yang digadai sebelum pelaksanaan PKP.

Bekas pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Nurul Aini, 34, pula menggunakan wang simpanannya untuk menebus gelang emasnya untuk dipakai semasa Aidilfitri kelak.

Di Johor Bahru, tinjauan di beberapa kedai pajak gadai mendapati ramai yang mengunjunginya untuk melanjutkan tempoh gadaian.

Muhammad, 30, berkata beliau mahu memperbaharui tempoh gadaian yang sudah tamat bagi mengelak barang kemas miliknya dilelong.

Pekerja kedai aksesori wanita yang mahu dikenali sebagai Shafinaz, 39, pula memilih memajak barang kemasnya berikutan harga emas yang tinggi ketika ini, sebagai persediaan untuk perbelanjaan kelak.

Di Sungai Petani, hanya dua premis pajak gadai yang menjadi tumpuan pelanggan yang kebanyakannya mahu menebus barang gadaian.

Pemilik kedai pajak gadai itu yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 50, berkata hari ini ramai pelanggan datang kerana mahu menebus barangan kemas serta melanjutkan tempoh pajakan.

Di Melaka, tinjauan Bernama di beberapa kedai pajak gadai di kawasan Kampung Jawa, Bukit Cina dan Jonker Street mendapati kebanyakan pelanggan hadir untuk membayar upah pajak bagi menyambung tempoh pajakan selain segelintir yang memajak barang kemas mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 8:34 PM