Sri Ayu Kartika Amri


KEDAI pajak gadai terus menjadi tumpuan orang ramai selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa semalam.

Fenomena orang ramai beratur menunggu giliran untuk memasuki premis pajak gadai menjadi tular sejak semalam di media sosial.

Tinjauan Harian Metro di beberapa premis pajak gadai di sekitar Kuala Lumpur mendapati orang ramai masih 'mengerumuni' kedai pajak gadai sejak awal pagi beroperasi.

Malah, ada beberapa premis dikunjungi mempunyai lebih 40 pelanggan menunggu giliran.

Namun, semua keadaan dilihat terkawal berikutan pekerja pajak gadai menyediakan sistem giliran bernombor dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memeriksa suhu badan pelanggan, penjarakan sosial dan memberi pembasmi kuman sebelum membenarkan pelanggan memasuki ruang pajak gadai.

Pelanggan pajak gadai di Sentul, Kavitha Prabagaren, 26, berkata dia sanggup beratur kerana memerlukan wang untuk menambah kos membiayai perubatan ibunya.

"Saya datang hari ini sebab hendak menggadai semula barang kemas yang digadai tahun lalu.

"Ibu saya memerlukan wang untuk kos perubatan kerana perbelanjaan pembedahan pintasan jantungnya menelan belanja sebanyak RM40,000.

"Kadar faedah di sini hanya dua peratus setiap bulan dan tempoh gadaian pula selama enam bulan," katanya.

KAKITANGAN kedai pajak gadai memeriksa suhu badan pelanggan sebelum membuat urusan di dalam kedai di Shah Alam. FOTO Khairul Azhar Ahmad
KAKITANGAN kedai pajak gadai memeriksa suhu badan pelanggan sebelum membuat urusan di dalam kedai di Shah Alam. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Bagi, Nor Hasimah Nasra, 43 berkata dia datang ke kedai pajak gadai bagi menebus balik barang kemasnya.

"Disebabkan PKP saya tidak dapat keluar ke mana-mana dan apabila kerajaan sudah melonggarkan sedikit sekatan baru saya buat keputusan menebus balik emas yang digadai sebelum ini.

"Saya bekerja sendiri jadi tiada sumber pendapatan tetap dan dalam situasi sekarang semuanya mencabar," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, kakitangan kedai pajak gadai di Jalan Sentul di sini berkata sejak semalam orang ramai sudah ramai yang datang ke premis.

"Kami membuka kedai bermula 9 pagi dan semalam sahaja lebih kurang 80 pelanggan datang bukan sahaja untuk menggadai barang kemas, tetapi ada juga menebus semula barang mereka dan memperbaharui tempoh pajakan.

"Namun, kebanyakan yang datang kami dapati memang memerlukan wang dan kami faham keadaan terdesak sekarang menyebabkan sebilangan besar kekurangan wang tunai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 4:04 PM