RAZLAN  (kanan) pernah menjadi prinsipal pasukan MotoGP, RNF MotoGP Racing. FOTO AGENSI
RAZLAN (kanan) pernah menjadi prinsipal pasukan MotoGP, RNF MotoGP Racing. FOTO AGENSI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali memberi bayangan menubuhkan pasukan Moto3 baharu di bawah kendaliannya pada musim Kejuaraan Motosikal Dunia 2025 selepas terdapat permintaan dari pelabur berpotensi di Eropah.

Menurutnya, peluang itu hadir tepat pada masanya untuk menyenaraikan pelumba muda negara dalam pasukan baharu berkenaan seperti Hakim Danish Ramli yang pada ketika ini beraksi di Kejuaraan Dunia JuniorGP dan Piala Red Bull Rookies.

"Proses itu masih diperingkat awal dengan saya terlebih dahulu harus bertemu pemegang hak MotoGP iaitu Dorna bagi mendapatkan 'lampu hijau' selain perlu berbincang beberapa perkara asas lain termasuk jentera yang hendak digunakan," katanya.

Ujar Razlan yang pernah menjadi prinsipal pasukan MotoGP, RNF MotoGP Racing, selepas insiden akhir tahun lalu, ada permintaan untuk mengetuai pasukan Moto3 dan Moto2.

"Bagaimanapun, pada masa itu, saya tak fikir secara mendalam kerana dari MotoGP perlu turun semula ke Moto3 dan Moto2 tidak ada rasa hendak buat pada masa itu memandangkan ada rasa kecewa dan sebagainya.

"Begitupun pada minggu lalu, ada permintaan daripada penaja serta pelabur berpotensi (dari Eropah) yang meminta saya datang semula, paling tidak untuk buat pasukan Moto3. Mereka mempunyai seorang pelumba yang hendak dibawa masuk tetapi nak pasukan sendiri," katanya.

Ujar Razlan, beliau mungkin seorang pelumba Eropah dan seorang lagi pelumba Malaysia akan disenaraikan.

"Bagi saya, kalau nak buat pasukan Moto3, saya tak nak pasukan itu semuanya dari Eropah (pelumba), saya nak masukkan juga pelumba Malaysia.

"Ini kerana kita tahu yang pada tahun depan ada seorang pelumba Malaysia yang berbakat dan eloklah untuk kita buat platform ini untuk dia," kata Razlan yang ingin bekas pelumba negara yang kini mengemudi pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin untuk turut serta dalam projek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau perlu mendapatkan juga pendapat Zulfahmi sama ada hendak menggunakan jentera KTM atau sebaliknya.

"Kalau Moto3 antara Honda dan KTM, KTM lagi bagus dan perkara seperti ini kena rancang sebaiknya.

"Sekarang ini Dorna berada di Jerez (Sepanyol) dan saya pula perlu ke Kazakhstan minggu depan. Mungkin antara Mugello (GP Itali pada hujung Mei) dan Assen (GP Belanda, hujung Jun) saya akan bincang dengan mereka.

"Jadi paling tidak di Kazakhstan kena muktamadkan dan kita perlu melakukan persiapan dari sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 4:01 PM