PERPUSTAKAAN Negara Perancis. FOTO AFP
PERPUSTAKAAN Negara Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Perpustakaan Negara Perancis pada Khamis memaklumkan pihaknya sudah mengeluarkan empat buku abad ke-19 dari raknya.

Ini kerana sampul buku berkenaan yang berwarna hijau zamrud itu berkemungkinan dicampur dengan arsenik yang sangat beracun.

Perpustakaan itu berkata, pengendalian 'buku-buku beracun' itu yang dicetak di Britain mungkin hanya akan menyebabkan mudarat kecil, tetapi masih perlu dihantar untuk analisa selanjutnya.

"Makmal luar akan menganalisanya untuk menilai berapa banyak arsenik dalam setiap jilid buku berkenaan," katanya.

Institusi itu mengenal pasti jilid berkenaan selepas penyelidik Amerika Syarikat (AS) menemukan bahawa penerbit pada era Victoria menggunakan bahan kimia untuk mewarnakan penjilidan buku.

Pigmen hijau yang mengandungi arsenik dipanggil Paris Green, Emerald Green atau juga Scheele's Green, sempena nama seorang ahli kimia kelahiran Jerman.

Menguji ratusan kulit buku untuk logam berat sejak 2019, penyelidik di Universiti Delaware merangka senarai jilid yang berpotensi berbahaya sebagai sebahagian daripada Projek Buku Racun.

Perpustakaan Negara Perancis memiliki koleksi lebih daripada 16 juta judul, termasuk empat salinan buku dikenal pasti terdapat dalam senarai Projek Buku Racun.

Perpustakaan Negara Perancis berkata, ia juga akan meneliti 'buku-buku hijau' lain yang di luar senarai Projek Buku Racun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran pendedahan jangka panjang kepada arsenik bukan organik, terutamanya melalui air minuman dan makanan, boleh menyebabkan lesi kulit dan kanser kulit.

Tetapi ia tidak menyebut mengenai pelakuan sentuhan dengan objek yang mengandungi bahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 4:40 PM