Dadah yang dirampas daripada seorang penganggur. FOTO IHSAN POLIS
Dadah yang dirampas daripada seorang penganggur. FOTO IHSAN POLIS
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Polis merampas dadah bernilai RM111,358 selepas menahan seorang penganggur dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kira-kira jam 3 petang anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di tepi lorong bersebelahan sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Berang, dekat Kampung Gelugur Kedai, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan pada badan suspek menemui dua paket plastik cerah di mana setiap satunya berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, turut ditemui satu paket plastik cerah berisi biji-biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis pil yaba dan paket plastik cerah di mana setiap satunya berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

"Selain itu satu paket plastik cerah berisi biji-biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis pil yaba di dalam beg pinggang yang dipakai di pinggang suspek ketika ditahan.

"Kira-kira jam 5.30 petang, anggota dan pegawai BSJND IPD Kuala Terengganu, dibawa oleh suspek ke sebuah rumah di Kampung Paloh Tuan Sulong, di sini, dan pemeriksaan di dalam bilik sewa suspek menemui satu bungkusan plastik berwarna biru bercorak, bertulisan dan bernombor manakala didalamnya terdapat satu paket plastik cerah berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan turut menemui satu paket plastik cerah berisi sembilan botol plastik cerah bertudung kuning di mana setiap satunya berisi serbuk berwarna putih disyaki dadah jenis heroin.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik berwarna biru, setiap satunya berisi biji-biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis pil yaba.

Beliau berkata, dua bungkusan kertas warna coklat di mana satu bungkusan coklat itu berisi tiga bungkusan kertas putih lusuh, setiap satu bungkusan kertas putih lusuh itu berisi 10 paket plastik berwarna biru, setiap satu paket-paket plastik tersebut berisi biji-biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis pil yaba.

Katanya, satu bungkusan kertas berwarna coklat berisi satu bungkusan kertas putih lusuh didalamnya terdapat 10 paket plastik berwarna biru, setiap satu paket -paket plastik berwarna biru tersebut berisi biji-biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis pil yaba.

"Kita turut menemui lima keping aluminium foil silver dan merah, setiap satu kepingnya terdapat biji-biji pil disyaki dadah jenis Pil Erimin 5.

"Manakala turut dirampas tiga botol, setiap satunya berisi cecair kehitaman disyaki cecair ubat batuk," katanya.

Menurutnya, kes di siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 manakala ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Katanya, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan polis turut menyita wang tunai RM800 bersama sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 4:07 PM