FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Keghairahan untuk kurus cepat didakwa faktor yang menyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita di negeri ini.

Syabu dan beberapa jenis dadah lain yang dikatakan boleh menyebabkan hilang selera makan, mempengaruhi wanita untuk mengambil bahan larangan itu.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Rosland Hussen berkata, ini terbukti apabila 1,127 penagih wanita direkodkan tahun lalu berbanding hanya 947 orang pada 2018.

Katanya, jumlah itu daripada 25,809 orang yang dicatatkan.

"Faktor lain mendorong pengambilan dadah dalam kalangan wanita adalah pengaruh rakan dan suami atau pasangan masing-masing.

"Mereka mendakwa teringin untuk mencuba selepas diperkenalkan dan untuk keseronokan selain ada yang berdepan tekanan jiwa selain mengambilnya secara tidak sengaja.

"Pihak kami juga mendapati ramai penagih pada hari ini bergelumang dengan dadah disebabkan faktor pekerjaan, untuk hiburan, kurangnya didikan agama dan berhadapan masalah kewangan," katanya, hari ini.

Rosland berkata, statistik tahun lalu juga menunjukkan penagih dadah kategori belia yang berusia antara 19 hingga 39 tahun mencatat peningkatan paling tinggi iaitu seramai 18,806 orang, berbanding 18,211 pada 2018.

"Ia diikuti penagih dadah kategori dewasa yang berusia 40 tahun dan ke atas iaitu seramai 6,567 orang berbanding hanya 6,213 orang pada 2018.

"Bagaimanapun, penagih dadah kategori remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun menunjukkan penurunan iaitu hanya 436 orang tahun lalu berbanding 548 orang tahun sebelumnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 1:53 PM