GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Berang selepas dilastik di kaki kerana disyaki mahu mencuri dipercayai punca dua lelaki memecahkan tingkap sebuah rumah di Sungai Buaya, Serendah, di sini, 22 April lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, terdahulu pengadu yang juga lelaki berusia lingkungan 30-an memaklumkan ternampak salah seorang suspek berlegar-legar di kawasan stornya.

"Mangsa kemudian melastik dan terkena pada kaki suspek lalu berlaku pertengkaran.

"Suspek kemudian beredar dan kira-kira 10 minit dia membawa seorang rakannya. Mereka bertindak mengetuk pintu dan memecahkan tingkap menggunakan parang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah di Bandar Sungai Buaya, jam 1 pagi, hari sama.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 34 dan 46 tahun mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah. Bagaimanapun hasil saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif.

"Polis turut merampas sebilah parang yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan (KK).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 3:43 PM