Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri disarankan mewujudkan Baitul Iman, pusat pemurnian aqidah dan akhlak bagi pesalah wanita di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita Terengganu Zuraida Md Noor berkata, sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah untuk menempatkan pesalah wanita bagi kesalahan syariah di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kerajaan negeri ada bercadang untuk membina pusat pemulihan akhlak dan aqidah di Marang

Justeru, beliau turut mencadangkan supaya pusat itu turut membawa fungsi sebagai Pusat Pemurnian Aqidah dan Akhlak untuk pesalah wanita, dengan cadangan nama Baitul Iman.

"Di antara rasional mengapa perlunya pusat ini diwujudkan di Terengganu ialah kerana pesalah wanita akan ditempatkan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor.

"Ia sudah tentu memakan masa perjalanan yang panjang dan jarak yang jauh serta pesalah juga terpaksa dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan, selain usaha ini dapat menjimatkan kos tanggungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika ini, sekiranya Mahkamah Syariah Terengganu memutuskan pesalah dikenakan tahanan di pusat pemulihan atau rumah diluluskan, pesalah wanita dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor, manakala bagi pesalah lelaki, mereka dihantar ke Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor.

Zuraida Md. Noor pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Zuraida Md. Noor pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 2:34 PM