Zuliaty Zulkiffli

Bukit Kayu Hitam: Kesan tapak kaki di sekitar pagar sempadan negara Malaysia-Thailand, di sini, semalam membawa kepada penemuan 15 pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar termasuk tekong yang cuba memasuki negara ini secara haram.

Mereka dikesan anggota unit risik Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan pemeriksaan rutin berhampiran pos kawalan di sempadan negara sebelum menahan mereka pada 7.20 malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md Dali Jamil berkata, anggotanya menemui kesan tapak kaki serta pagar dipotong di kawasan itu sebelum mengekori jejak tapak kaki berkenaan.

Beliau berkata, anggota PGA terbabit menemui sekumpulan Pati yang selamat sampai di kawasan ladang Laka Temin, dekat sini.

"Berikutan itu, semua Pati membabitkan seorang wanita dan 14 lelaki termasuk seorang tekong darat warga Myanmar itu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Mereka yang berusia antara 18 hingga 55 tahun itu dipercayai memasuki negara ini secara haram dan ditahan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika ditemui di Markas Taktikal Briged Utara Bukit Kayu Hitam, di sini, hari ini.

Sebahagian 15 pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan Batalion 2 PGA Kulim kerana cuba menceroboh masuk ke negara ini melalui pagar sempadan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sebahagian 15 pendatang tanpa izin (Pati) yang ditahan Batalion 2 PGA Kulim kerana cuba menceroboh masuk ke negara ini melalui pagar sempadan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Md Dali berkata, hasil siasatan mendapati, mereka dipercayai dibawa dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda di kawasan Thailand dan membolosi pagar sempadan dengan berjalan di kawasan kebun getah untuk memasuki negara ini.

Beliau berkata, mereka mengambil kesempatan pada waktu anggota menukar syif dan waktu Maghrib kerana menyangka kawalan ketika itu 'longgar', namun jangkaan itu silap kerana anggota melakukan rondaan 24 jam secara bergilir-gilir di kawasan sempadan negara.

"Mereka dipercayai sudah ada majikan di negara ini dan datang untuk bekerja, tetapi masuk secara haram.

"Setiap Pati berkenaan dipercayai membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 seorang kepada tekong di Thailand untuk masuk ke negara ini.

"Tekong darat yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 1:35 PM