Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di sempadan Malaysia-Thailand yang meningkat sejak akhir-akhir ini dipercayai disebabkan ekonomi di negara ini kembali rancak menyebabkan banyak peluang pekerjaan tersedia.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini banyak tangkapan dilakukan di kawasan sempadan sejak Disember tahun lalu.

DATUK Kamarul Zaman Mamat tidak akan berkompromi dengan sesiapa bagi mengelak kemasukan Pati ke negara ini melalui sempadan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Kamarul Zaman Mamat tidak akan berkompromi dengan sesiapa bagi mengelak kemasukan Pati ke negara ini melalui sempadan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Menurutnya, ada yang mencari peluang sehingga sanggup memasuki kawasan jalan yang sah atau jalan berpagar dan memasuki di kawasan kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ditangkap.

Katanya, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan pasukan Op Benteng dengan melakukan operasi khas untuk memastikan kumpulan Pati dan tekong darat tidak terlepas walaupun mereka berjaya melepasi sekatan atau lapisan pertama di sempadan.

"Untuk rekod, dalam tempoh hujung tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) menahan 20 individu termasuk tiga tekong darat rakyat tempatan yang membawa 17 Pati. Mereka ditahan di Plaza Tol Hutan Kampung.

"Pada 22 Disember lalu, 13 Pati ditahan bersama tiga tekong darat warga tempatan di Napoh, Changlun oleh polis dari Cawangan Khas IPK.

"Susulan itu, tujuh individu termasuk seorang wanita dan tekong darat Myanmar ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seminggu kemudian," katanya ketika ditemui di IPK Kedah, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamarul Zaman berkata, Polis Kedah juga tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja termasuk penguat kuasa di sempadan yang dikesan melindungi Pati masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba menjadi tali barut sama seperti mana tindakan yang dikenakan terhadap penyeludup yang membawa masuk Pati.

"Kebanyakan Pati warga Myanmar berusaha untuk cuba memasuki negara ini disebabkan ekonomi kita semakin rancak menyebabkan mereka masuk untuk mencari peluang pekerjaan.

"Selain itu, kita berharap masyarakat juga dapat membantu polis dalam menyalurkan maklumat untuk memudahkan tindakan diambil bagi mengatasi kemasukan Pati ke negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 1:58 PM