Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Meskipun tahu pihak berkuasa mengawal ketat sempadan negara ini, ia sedikit pun tidak menggentarkan 17 pendatang tanpa izin (Pati) warga Myanmar untuk menyeludup masuk ke negara ini secara haram, semata-mata mahu mengejar peluang pekerjaan, selain gaji lumayan.

Kesemua mereka ditahan anggota Batalion 18, Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, Perak pada 4.30 pagi berhampiran pagar keselamatan sempadan negara Malaysia-Thailand, hari ini.

Seorang daripada lelaki yang ditahan berusia 33 tahun mengakui sudah 10 tahun bekerja sebagai penoreh getah di negara ini namun mendakwa tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak mengenali kesemua mereka.

Dia memberi alasan sepanjang bekerja di negara ini dia hanya bercampur dengan orang senegaranya.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu Superintendan Ramli Wan Salin berkata, 17 Pati yang ditahan itu terdiri daripada 14 lelaki dan tiga wanita berusia antara 15 hingga 36 tahun.

SEBAHAGIAN Pati warga Myanmar yang ditahan anggota Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SEBAHAGIAN Pati warga Myanmar yang ditahan anggota Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, kumpulan Pati sentiasa mencari peluang ketika anggota PGA tiada di kawasan itu dan mereka akan cuba menyusup masuk.

"Mereka akan potong pagar keselamatan dan terus masuk jika tiada anggota bertugas di situ namun akan menyorok sekiranya anggota kita sedang melakukan rondaan.

"Biasanya mereka akan masuk sekitar 1 hingga 6 pagi kerana keadaan masih gelap dan sukar dilihat, namun kita mengarahkan anggota melakukan kawalan 24 jam bagi mengelak dibolosi dan akhirnya mereka dicekup pagi tadi," katanya ketika ditemui di Markas Taktikal PGA Briged Utara PGA, di sini hari ini.

Ramli berkata, kesemua mereka diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 7:08 PM