Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Berlagak sebagai kelindan lori tetapi terkantoi selepas tidak faham bahasa Melayu sekali gus mengundang syak pihak berkuasa.

Cubaan enam Pati warga India termasuk seorang wanita itu masuk ke negara ini tidak berjaya selepas mereka yang dikesan berada dalam empat treler.

Kesemua mereka itu ditahan anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta yang melakukan pemeriksaan terhadap treler berkenaan antara jam 11.40 malam hingga 11.55 malam Selasa lalu.

Kesemua treler yang membawa muatan sayur-sayuran, barangan runcit dan buah-buahan itu dipercayai baru keluar dari Thailand sebelum ditahan di Kilometer 1.1 Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Sempadan (ICQS) di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta Superintendan Shamsul Baharin Aman berkata, hasil siasatan mendapati empat pemandu treler warga tempatan itu disyaki diupah untuk membawa Pati terbabit dengan bayaran kira-kira RM500 setiap seorang.

Menurutnya, mereka hanya dibayar untuk membawa Pati berkenaan dari pekan Danok, Thailand ke Pekan Changlun pada jarak sekitar lapan kilometer untuk diserahkan kepada individu dipercayai tekong untuk menguruskan kemasukan Pati itu ke destinasi berikutnya.

"Kita percaya kesemua Pati warga India berusia antara 30 hingga 59 tahun itu mengambil masa berbulan-bulan untuk dari negara mereka dan melepasi beberapa negara untuk sampai ke sini.

"Sekarang ini keadaan ekonomi negara kita sudah kembali pulih dan banyak restoran serta kedai makan dibuka, berkemungkinan besar ia menarik minat Pati dari negara India untuk datang sini bagi mendapatkan peluang pekerjaan," katanya pada sidang media di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN daripada enam Pati warganegara India termasuk seorang wanita yang ditahan dalam empat buah treler oleh Batalion 1 PGA yang cuba memasuki negara ini secara haram. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SEBAHAGIAN daripada enam Pati warganegara India termasuk seorang wanita yang ditahan dalam empat buah treler oleh Batalion 1 PGA yang cuba memasuki negara ini secara haram. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Shamsul Baharin berkata, ia menjadi modus operandi terbaru yang digunakan sindiket untuk membawa masuk Pati ke negara ini.

Katanya, mereka menyangka dapat melepasi pemeriksaan pada waktu hampir tengah malam namun gagal kerana pemeriksaan ketat anggotanya menggagalkan cubaan mereka.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua Pati yang duduk di tempat duduk penumpang sebelah pemandu treler itu tidak mempunyai sebarang dokumen sah selain tidak fasih berbahasa Melayu.

"Kesemua mereka yang ditahan termasuk empat pemandu treler warga tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya.

Shamsul Baharin berkata, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 40 tahun yang disyaki tekong darat yang mengupah empat pemandu treler terbabit ditahan polis di sekitar kawasan Kubang Pasu.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan tekong darat itu dipercayai sudah beberapa kali melakukan kegiatan itu dan menggunakan pelbagai taktik untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kita percaya masih ramai lagi Pati warga India berada di negara jiran dan cuba untuk masuk tetapi dengan kawalan ketat yang anggota kami lakukan, sindiket cuba membawa masuk seorang dua tapi gagal.

"Dengan itu, kita akan terus memperketatkan kawalan di sempadan dan melakukan pemeriksaan lebih terperinci termasuk di bahagian kepala lori dan ruang belakang untuk memastikan tiada penyeludupan berlaku," katanya.

Shamsul Baharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, manakala empat buah treler bersama sayuran, buah-buahan dan barangan runcit bernilai RM962,000 itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 2:53 PM