FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Sekumpulan remaja yang merancang untuk menyertai lumba haram sempena ambang merdeka membatalkan hasrat terbabit selepas menyedari kehadiran anggota polis di beberapa kawasan di Pasir Gudang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, bertindak atas intipan dan maklumat orang ramai, pihaknya mengadakan Ops Khas Ambang Merdeka mulai jam 10 malam kelmarin hingga 4 pagi.

Beliau berkata, operasi yang diketuainya turut dibantu empat pegawai dan 20 anggota polis berhampiran Kampung Pasir Putih, Tanjung Langsat dan Lebuhraya Pasir Gudang.

Menurutnya, sekumpulan remaja juga dikesan bergerak ke kawasan dipercayai menjadi tempat berkumpul bagi menyertai lumba haram.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak dapat berkumpul selepas menyedari kehadiran polis di lokasi berkenaan.

"Mereka yang dikesan menunggang motosikal pada awal pagi dipercayai bagi menyertai lumba haram memberi alasan kononnya mahu bertemu dengan rakan, mahu membeli barang serta isi minyak.

"Polis mengambil tindakan terhadap 40 individu yang menaiki 31 motosikal dan mereka dalam lingkungan usia antara 13 hingga 23 tahun.

"Seorang daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 42, Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala polis juga mengeluarkan saman dan menyita motosikal membabitkan kesalahan lain," katanya.

Mohd Sohaimi berkata, dalam usaha menangani kegiatan lumba haram, polis akan mengadakan operasi dan penguatkuasaan trafik secara berterusan.

Menurutnya, ia demi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya selain mencegah sebarang aktiviti bercanggah dengan undang-undang.

"Aktiviti dijalankan mat rempit yang menjadikan laluan di beberapa kawasan sebagai litar boleh mengundang bahaya.

"Kita berharap setiap lapisan masyarakat menghargai nilai nyawa serta menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, bagi mengulas aduan penduduk di Plentong dan Permas berkaitan aktiviti lumba haram pada setiap hujung minggu, Mohd Sohaimi berkata, pihaknya turut mengambil perhatian perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 3:51 PM