ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh di Ipoh. FOTO ihsan PDRM
ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh di Ipoh. FOTO ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Tindakan sekumpulan 'mat motor' berlumba seawal jam 1 pagi setiap malam minggu sehingga mengganggu lena penduduk di Taman Desa Aman, Jalan Pasir Puteh, di sini, berakhir apabila mereka diserbu polis, hari ini.

Seramai 10 individu termasuk seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan dalam operasi yang dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ipoh pada 3 pagi.

Ketua JSPT Perak Superintendan Azizan Hassan berkata, operasi itu dilakukan hasil maklumat dan aduan penduduk yang mendakwa diganggu bunyi bising deruman motosikal setiap malam minggu.

Beliau berkata, susulan itu, pihaknya melakukan risikan dan pemantauan di kawasan berkenaan selama dua minggu sebelum serbuan dijalankan hari ini.

Katanya, siasatan mendapati kumpulan itu akan berkumpul di kawasan berkenaan untuk memulakan aktiviti mereka pada 1 pagi.

"Ketika operasi dilakukan, kesemua lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun berkenaan sedang leka berlumba dan menunggang motosikal secara merbahaya.

"Mereka berkumpul di kawasan itu dan didapati sedang melakukan aksi seperti wheelie, zig zag dan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan badan yang mana ia bukan saja bahaya kepada diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis turut mengeluarkan sebanyak 74 saman atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos dan kenderaan, nombor plat, tiada insurans dan cermin sisi," katanya.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti lumba haram dan ibu bapa dinasihatkan supaya memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 6:46 PM