Sebahagian penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Darul Aman sempena malam Ambang Merdeka. FOTO IHSAN PDRM
Sebahagian penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Darul Aman sempena malam Ambang Merdeka. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Keseronokan sekumpulan penunggang motosikal menyambut malam Ambang Merdeka malam tadi mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Darul Aman, awal pagi tadi.

Seramai 140 remaja berusia belasan hingga 20-an yang terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal itu ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, sekitar jam 2.30 hingga 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pasukan operasi sebelum itu melakukan pemantauan sejam lebih awal di lokasi sebelum melakukan kepungan.

Beliau berkata, sekumpulan penunggang motosikal yang berkumpul di satu lokasi di sekitar kawasan itu kemudian beredar sebaik menyedari kehadiran kenderaan polis di situ.

"Kebanyakan mereka terdiri dalam kalangan penduduk setempat malah ada juga yang datang dari daerah lain semata-mata untuk menyambut malam Ambang Merdeka di sini.

"Sebanyak 109 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 107 saman Pol 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

"Kesalahan paling banyak dikesan adalah pengubahsuaian motosikal serta tidak memiliki lesen memandu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, sebanyak 22 motosikal turut disita kerana terbabit melakukan pelbagai kesalahan.

Beliau berkata, selain itu juga sebanyak sembilan kereta turut diperiksa dalam operasi itu.

"Ibu bapa dinasihatkan sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka terutamanya pada lewat malam supaya tidak terbabit dengan aktiviti seumpama yang tidak sepatutnya dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 12:09 PM