Nurul Hidayah Bahaudin


BEBERAPA penunggang motosikal lari lintang-pukang apabila diserbu dalam Operasi Samseng Jalanan di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Selatan (LEKAS), di Kajang, hari ini.

Ada di antara penunggang yang bertindak turun daripada motosikal dan menolak kenderaan itu untuk melalui pembahagi jalan ke laluan bertentangan lebuhraya berkenaan sebaik melihat kelibat anggota polis membuat sekatan jalan raya.

Malah, seorang penunggang sanggup meninggalkan motosikal jenis Yamaha LC dinaikinya dalam keadaan terbaring di dalam longkang dengan membawa kunci kenderaan itu sebelum meloloskan diri di kawasan hutan berhampiran.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi itu, lima lelaki berusia 17 hingga 22 tahun ditahan selepas didapati menunggang motosikal secara melulu dan bahaya dengan melakukan aksi ‘superman’ serta ‘willie’ di lebuh raya terbabit.

Selain itu, polis turut memeriksa 60 individu berusia 15 hingga 22 tahun termasuk dua remaja perempuan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun yang mengikut teman lelaki mereka ‘menonton’ aksi lumba haram di lokasi berkenaan.

Remaja perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 16, berkata, dia kerap ke lokasi terbabit untuk menemani teman lelakinya berusia 17 tahun melihat aksi dipamerkan penunggang motosikal.

"Saya datang untuk teman ‘boyfriend’ (teman lelaki). Dia nak tengok aksi mereka (pelumba), tapi dia tidak berlumba.

"Kami kerap datang sini kira-kira 1 atau 2 pagi sebab itu masa mereka (pelumba) berkumpul dan beraksi. Dalam 4 hingga 5 pagi, baru kami balik.

"Ibu bapa tahu kami keluar," katanya yang tidak bersekolah ketika ditemui di lokasi, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, 54 motosikal dan kereta Proton Wira yang berkumpul di lokasi terbabit dipercayai untuk menyertai dan menonton lumba haram ditahan dalam operasi itu.

"Dalam operasi itu, sebanyak 124 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran ‘fancy’, tiada cermin sisi, ubah suai motosikal dan abai isyarat lalu lintas.

"Kami turut menyita enam motosikal ditunggang lima lelaki termasuk pelajar sekolah menengah yang melakukan aksi dan menunggang secara bahaya serta motosikal yang ditinggalkan di dalam longkang berhampiran lokasi dalam operasi itu.

"Kelima-lima lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya," katanya yang ditemui di lokasi operasi, di sini, awal pagi tadi.

Ahmad Dzaffir berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya mengeluarkan sebanyak 76 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Ambang Merdeka dilakukan di sekitar Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di sini, semalam.

"Dalam operasi bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi semalam itu, sebanyak 146 kenderaan termasuk motosikal, kereta, bas dan lori diperiksa.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, sebanyak 76 saman dikeluarkan dalam operasi itu membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 10:51 AM
ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA individu yang diperiksa dalam operasi itu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin