Pemeriksaan polis pada malam ambang merdeka dalam operasi khas mototsikal pada malam ambang merdeka oleh polis Ampang Jaya, kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Pemeriksaan polis pada malam ambang merdeka dalam operasi khas mototsikal pada malam ambang merdeka oleh polis Ampang Jaya, kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Kegembiraan menyambut malam ambang merdeka tanpa menghiraukan undang-undang jalan raya membawa padah apabila motosikal milik sekumpulan 'mat motor' disita polis, kelmarin.

Kesalahan itu dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam Operasi Khas Pencegahan Jenayah Sempena Ambang Merdeka yang bermula jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi tertumpu di Jalan Bunga Raya, Taman Kencana; Jalan Ampang; Jalan Putra; Bukit Ampang Saujana dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

"Dalam operasi itu, sebanyak 55 saman dikeluarkan dan lapan motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan dikesan adalah tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, langgar lampu merah dan pelbagai kesalahan lain," katanya semalam.

Mohd Azam berkata, motosikal yang disita dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi serta tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama.

Katanya, operasi dijalankan bertujuan mengesan dan mencegah berlaku aktiviti tidak sihat di kalangan penunggang motosikal.

Tambahnya, operasi penguatkuasaan itu akan diteruskan bagi memastikan semua pengguna kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 3:03 PM