Polis menggempur bahagian luar stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Taman Melati, Gombak, yang menjadi tempat berkumpul penonton lumba haram dan aksi merbahaya, awal pagi tadi.
Polis menggempur bahagian luar stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Taman Melati, Gombak, yang menjadi tempat berkumpul penonton lumba haram dan aksi merbahaya, awal pagi tadi.
Safeek Affendy Razali


Gombak: Polis menggempur 'penonton' yang berkumpul dipercayai bagi menyaksikan lumba haram di luar stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Taman Melati, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan pada 2 pagi, anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengepung laluan masuk dan keluar ke premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menyerbu lokasi itu susulan risikan sejak seminggu lalu mendapati ia menjadi tumpuan aktiviti lumba haram dengan kehadiran penonton termasuk di kalangan remaja.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota diketuai Asisten Superintendan Fahmmi Mohd Hasmi bertindak mengepung kawasan itu.

"Mereka (penonton) terperangkap dan pihak polis berjaya menahan 95 individu membabitkan pemilik dan penumpang 16 kereta serta 53 motosikal

"Terdapat juga segelintir penonton yang bertindak melarikan diri ke seberang lebuh raya, namun mereka dapat diberkas," katanya kepada BH, di sini.

Zainal Mohamed berkata, tujuan operasi itu adalah menghentikan aktiviti lumba haram dan aksi merbahaya serta mengelakkan orang ramai berkumpul bagi menyaksikan kegiatan tidak berfaedah selain memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Tinjauan semasa serbuan mendapati ada antara penonton membawa isteri yang sarat mengandung menyaksikan aksi merbahaya hingga lewat pagi.

Dalam operasi berkenaan, secara keseluruhan pihak polis memeriksa 69 kenderaan dan mengeluarkan saman dan kompaun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap penonton kerana berkumpul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 2:38 PM