Pesakit buah pinggang tahap lima, Mohd Faizal Zainal Abidin, 38, menunjukkan surat temu janji hospital yang sepatutnya dihadiri pada Mei lalu untuk rawatan susulan termasuk proses dialisis namun tidak dihadirinya. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pesakit buah pinggang tahap lima, Mohd Faizal Zainal Abidin, 38, menunjukkan surat temu janji hospital yang sepatutnya dihadiri pada Mei lalu untuk rawatan susulan termasuk proses dialisis namun tidak dihadirinya. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sepatutnya tiga bulan lalu dia memulakan rawatan dialisis untuk penyakit buah pinggang kronik yang dihidapinya, namun kekangan kewangan menyebabkan Mohd Faizal Zainal Abidin mengabaikan janji temu yang dibuat.

Katanya, dia risau kos rawatan melangkaui kemampuan kewangannya dan hanya bertahan dengan ubat-ubatan yang dibekalkan.

Bapa empat anak berusia 38 tahun itu berkata, penyakit itu dikesan sejak awal tahun lalu dan disahkan sudah tahap lima, yang menjadikan dia semakin lemah, kerap kejang otot dan mudah semput.

Menurutnya, penglihatan makin kabur juga menyebabkan dia bergantung sepenuhnya kepada isteri, Noraini Mohd Zain, 34, namun kehidupan mereka semakin terdesak kerana dia tidak boleh bekerja.

"Sebelum ini kami enam beranak menetap di Jasin, Melaka kerana saya mengusahakan kedai makan di sana, tetapi kami pulang ke Kelantan kerana kesihatan saya semakin merosot.

"Pada mulanya saya hanya buat pemeriksaan di klinik kesihatan sahaja dan dimaklumkan sudah ada tanda penyakit buah pinggang. Disebabkan takut, saya tidak membuat rawatan susulan sebaliknya bergantung ubat sahaja.

"Selepas itu kerana tidak tahan menanggung sakit, saya berikan diri ke hospital dan disahkan penyakit sudah kronik tahap lima. Mei lalu sepatutnya saya mula dialisis tapi bimbang kosnya tinggi, maka saya bertahan dulu," katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini.

Keluarga itu kini bergantung ihsan adik-beradik yang membantu membayar sewa rumah sebanyak RM320 sebulan dan sesekali menampung perbelanjaan harian mereka.

"Isteri pula tidak boleh keluar bekerja kerana perlu menguruskan saya disebabkan sukar saya nak bergerak dan perlu dipapah," katanya yang menyertakan nombor 014-9023375 bagi orang ramai yang mahu membantu.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ketua Balai Polis Wakaf Bharu, Sarjan Mejar Abd Halim Shafai yang menyampaikan sumbangan sempena Op Bantu bersama aktivis masyarakat, Wan Zahari Wan Othman.

Sumbangan termasuk telefon bimbit pintar daripada badan bukan kerajaan (NGO) Group Gatih Amal (GGA) untuk keperluan dua anak Mohd Faizal mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 4:25 PM