Siti Rohana Idris


Tumpat: "Buat masa sekarang saya ingin tumpukan proses penyembuhan semua kecederaan ini, tak mahu lagi ingat kejadian buruk itu," kata mangsa tikaman suami, Nik Salma Joni dari Chabang Empat, di sini.

Nik Salma, 26, yang mengalami kecederaan agak parah di beberapa jari di kedua-dua belah tangan dan kesan tikaman di kepala masih belum sembuh sepenuhnya walaupun kejadian itu berlaku lebih sebulan lalu.

Menurutnya, dia mengalami trauma pada awal kejadian itu namun kini semakin beransur pulih biarpun sesekali ada terlintas bayangan tragedi terbabit.

"Sudah lebih sebulan berlalu namun luka di tangan dan kepala saya masih belum pulih sepenuhnya malah beberapa kesan jahitan di kepala kadangkala mengeluarkan darah serta nanah.

"Sebatang jari tangan kiri saya patah dan jari tengah kiri juga cedera kerana ditetak manakala jari manis pula putus tetapi berjaya disambung," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Nik Salma berkata, dia menerima rawatan di hospital selama seminggu.

Nik Salma (kanan) ditemani ibunya menunjukkan kecederaan agak parah di beberapa jari kedua belah tangan dan kesan tikaman di bahagian kepala masih belum sembuh sepenuhnya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nik Salma (kanan) ditemani ibunya menunjukkan kecederaan agak parah di beberapa jari kedua belah tangan dan kesan tikaman di bahagian kepala masih belum sembuh sepenuhnya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sebagai rawatan susulan, dia perlu menghadiri temujanji dengan pakar ortopedik serta psikologi untuk perkembangan lanjut.

Selain trauma, faktor keselamatan juga menjadi penyebab wanita yang baharu lima bulan mendirikan rumah tangga itu pada awalnya enggan pulang kerana keadaan beberapa ruang dalam rumahnya agak uzur serta perlu dipasang jeriji besi.

Atas dasar prihatin, sebuah badan bukan kerajaan, Group Gatih Amal (GGA) yang dipengerusikan Abd Halim Shafai dengan kerjasama sebuah syarikat besi dan keluli membantu keluarga itu membuat pemasangan jeriji di beberapa bahagian rumah mangsa.

Dalam kejadian 21 Jun lalu, ibu mangsa, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 66, turut cedera di bahagian kepala dan menerima empat jahitan kerana ditikam dengan pisau.

Tuan Azizah berkata, kejadian yang berlaku di depan matanya itu terlalu pantas dan tiada apa yang difikirkannya ketika itu selain menyelamatkan Nik Salma yang sedang ditikam bertubi-tubi oleh menantunya.

"Daripada melihat anak mati, biar saya yang hilang nyawa dan disebabkan itu, saya cuba melindunginya daripada terus ditikam meskipun saya sendiri cedera dan kesannya masih lagi terasa sakit sehingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada GGA kerana bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga dan membantu memasang jeriji untuk keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:22 PM