Siti Rohana Idris


Tumpat: Seramai 29 anggota Senoi Praaq dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak akan membantu penugasan mengesan harimau belang yang berkeliaran sekitar Pos Bihai di Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, seramai 19 anggota terbabit akan mula melaporkan diri pada 19 Januari ini dan selebihnya akan menyusul dalam masa terdekat.

"Kami menerima permohonan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membantu untuk mengawal dan mengesan harimau di Gua Musang.

"Anggota sudah hadir menjalani taklimat bersama Ketua Polis Daerah Gua Musang dan agensi berkaitan untuk agihkan penugasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Kayuhan Tahun Baharu 2022 anjuran Group Gatih Amal (GGA) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di perkarangan Balai Polis Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Shafien Mamat (dua dari kiri) menyampaikan cabutan bertuah kepada peserta selepas program Kayuhan Tahun Baharu 2022 anjuran Group Gatih Amal (GGA) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di perkarangan Balai Polis Wakaf Bharu, di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Shafien Mamat (dua dari kiri) menyampaikan cabutan bertuah kepada peserta selepas program Kayuhan Tahun Baharu 2022 anjuran Group Gatih Amal (GGA) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di perkarangan Balai Polis Wakaf Bharu, di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pada program itu, Shafien turut berkayuh sebahagian daripada laluan sejauh 38 kilometer (km) sekitar Tumpat.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Shafien berkata, penugasan anggota Senoi Praaq yang lebih mahir dengan keadaan hutan itu juga membabitkan pergerakan masyarakat Orang Asli di perkampungan itu bagi mengelakkan menghampiri kawasan berisiko.

Menurutnya, anggota polis juga akan bersama dalam penugasan itu dan akan ditempatkan di luar kawasan hutan iaitu sepanjang jalan untuk memasuki perkampungan berkenaan.

"Selagi usaha belum selesai, kita tak benarkan orang kampung keluar ke hutan dan saya difahamkan bekalan makanan untuk mereka akan dihantar oleh agensi berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 3:43 PM