PESAKIT buah pinggang, Norhidayu Arshad, berharap pusat dialisis dibina di Chini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
PESAKIT buah pinggang, Norhidayu Arshad, berharap pusat dialisis dibina di Chini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


TERPAKSA menempuh jarak perjalanan lebih 80 kilometer (km) pergi balik tidak mematahkan semangat ibu kepada dua anak yang menghidap penyakit buah pinggang kronik untuk menjalani rawatan dialisis di Unit Hemodialisis Pekan, tiga kali seminggu.

Dalam serba kepayahan dan terpaksa berada di dalam kenderaan lebih satu jam ke pusat dialisis, Norhidayu Arshad, 29, tidak mempunyai pilihan lain kecuali meneruskan rutin itu bagi meneruskan sisa hidupnya.

Menurutnya, perjalanan jauh membuatkan dirinya terpaksa mengunyah ais bagi mengatasi rasa dahaga kerana pesakit buah pinggang hanya dibolehkan minum air sebanyak 500 mililiter (ml) sehari.

Katanya, dia bersama lapan individu senasib terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan menaiki van disediakan pihak Klinik Kesihatan Chini ke pusat rawatan dialisis setiap Selasa, Khamis dan Sabtu.

"Kami terpaksa mengunyah ais bagi menghilangkan rasa dahaga dan tidak boleh minum air yang banyak.

"Selain jarak dan prosedur semasa proses rawatan memakan masa agak lama dan kemudiannya pulang semula ke Chini pada lewat petang, menyebabkan saya dan pesakit lain berdepan keletihan.

"Justeru saya dan pesakit lain mohon pihak kerajaan dapat menyediakan pusat dialisis di Chini bagi memudahkan pesakit seperti saya mendapatkan rawatan terbaik dan lebih berkualiti," katanya ketika ditemui di Pekan, hari ini.

Norhidayu berkata, kehidupannya berubah secara keseluruhan dan terpaksa bergantung hayat sepenuhnya pada rawatan dialisis, jika tiada penderma organ selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik empat tahun lalu.

Menurutnya, dia menghidap penyakit ini disebabkan faktor genetik kerana arwah ibu menghidap penyakit sama dan turut terpaksa menjalani rawatan dialisis setiap minggu.

"Saya mengalami bengkak pada keseluruhan badan dan selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan kedua-dua buah pinggang saya gagal berfungsi.

"Sebelum menjalani dialisis, saya dibekalkan sejenis ubat kalsium tulang daripada hospital sebelum dirujuk doktor untuk menjalani dialisis.

"Tiada istilah takut atau putus asa, sebaik disarankan doktor untuk menjalani dialisis seumur hidup, saya reda dengan ketentuan Yang Maha Esa.

"Saya yakin ada hikmah di sebalik dugaan diterima ini, saya perlu sentiasa berfikiran positif dan berdoa ada sinar suatu hari nanti," katanya.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 1:14 PM