PESAKIT buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.
PESAKIT buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kesihatan yang baik sememangnya menjadi idaman setiap orang, malah atas kesedaran yang tinggi, semakin ramai yang mengambil langkah memastikan tahap kesihatan berada pada tahap terbaik.

Langkah pencegahan awal bagi mengelak penyakit berbahaya mampu menyelamatkan nyawa dan pastinya menikmati hidup lebih berkualiti, lebih-lebih lagi apabila usia meningkat.

Amalan gaya hidup sihat juga memainkan peranan penting untuk memastikan seseorang dapat mengelakkan diri daripada menderita penyakit kronik antaranya penyakit buah pinggang.

Selain membataskan aktiviti harian, pesakit yang menderita penyakit ini pada tahap kronik bukan saja terpaksa menelan ubat-ubatan dan menjaga pemakanan harian, malah mereka bergantung sepenuhnya kepada mesin dialisis untuk meneruskan hidup.

Kerosakan ginjal berlaku secara senyap tanpa sebarang tanda dan gejala sehingga ke peringkat teruk.

Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) Malaysia, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, penyakit buah pinggang kronik ialah satu penyakit seumur hidup dan boleh mendatangkan kesan negatif yang amat teruk terhadap kualiti hidup pesakit buah pinggang.

“Dengan kos hidup yang semakin meningkat, kami faham bahawa kos rawatan dialisis boleh menjejaskan kewangan pesakit buah pinggang dan keluarga mereka.

“NKF amat berharap dapat mengurangkan beban pesakit buah pinggang ini dan mengurangkan kesan penyakit itu terhadap kehidupan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, NKF bertindak mengurangkan bayaran bagi rawatan dialisis untuk pesakit bukan tajaan daripada RM100 kepada RM90 setiap rawatan.

Di bawah skim pembayaran baru, bayaran rawatan pesakit tetap di NKF dikurangkan kepada RM90 setiap sesi manakala pesakit yang menerima subsidi RM50 daripada Kementerian Kesihatan kini akan membayar RM40 setiap sesi.

Bagaimanapun katanya, bayaran yang disemak semula ini tidak menjejaskan pesakit yang ditaja sepenuhnya oleh badan khas seperti Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan berkanun.

NKF ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang membantu pesakit buah pinggang kurang bernasib baik.

Dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan orang ramai dan sektor swasta, organisasi ini menyalurkan bantuan kepada 1,600 orang pesakit setahun melalui program dialisis selain bekerjasama dengan pelbagai badan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit buah pinggang kronik melalui kempen kesedaran.

NKF juga menyediakan bentuk sokongan lain untuk pesakit buah pinggang termasuk Tabung Kebajikan Pendidikan Kanak-Kanak yang membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak yang bersekolah dan kaunseling pesakit kepada pesakit dan keluarga mereka.

Penyakit buah pinggang mengurangkan fungsi buah pinggang untuk menyingkirkan sisa badan. Jika tidak dirawat, sisa terkumpul dalam badan sehingga ia sampai satu aras toksik dan akhirnya menjurus kegagalan buah pinggang dikenali sebagai penyakit renal peringkat akhir (ESRD).

Penyakit buah pinggang kronik peringkat akhir yang kehilangan fungsi buah pinggang, ia tidak dapat disembuhkan, tetapi boleh diperlahankan melalui sesi dialisis tetap.

“Di NKF, kami percaya pesakit dialisis mempunyai hak yang sama terhadap kehidupan berkualiti dengan individu lain. Kami menyasarkan untuk menyediakan penjagaan holistik dan serba lengkap bagi memastikan pesakit mendapat sokongan terbaik dalam aspek kewangan, emosi dan psikologi,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan NKF boleh layari laman web http://www.nkf.org.my atau talian 03-79549048.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 2:33 PM