SEKATAN jalan raya di sempadan negeri, gambar fail. FOTO NSTP
SEKATAN jalan raya di sempadan negeri, gambar fail. FOTO NSTP
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Polis mengaktifkan 504 anggota dan pegawai membabitkan 135 pasukan bagi melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sempena Aidiladha, Selasa ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pemantauan secara berkala akan ditingkatkan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan orang ramai berkumpul seperti di kawasan jambatan angkat di sini.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat secara maya dengan kerajaan negeri dan penguatkuasaan akan diberikan kepada lokasi tumpuan ramai berikutan kerajaan negeri membenarkan aktiviti riadah bermula semalam.

"Kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri meminta rondaan dan pemantauan ditingkatkan terutama di lokasi tumpuan ramai seperti drawbridge (jambatan angkat) dan pantai bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rohaimi berkata, pemeriksaan turut dilakukan di lokasi ibadah korban bagi memastikan aktiviti itu dilakukan mengikut SOP.

"Justeru orang ramai khususnya masyarakat negeri ini diminta sentiasa mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19 sepanjang musim perayaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 10:45 PM