FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Sambutan Aidiladha diraikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) apabila tiada aktiviti ziarah dan kunjung mengunjung dikesan di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, rondaan di kawasan pantai dan sekitar Jambatan Angkat mendapati ia lengang berikutan tiada aktiviti berkumpul di situ, sebagaimana berlaku pada musim perayaan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya mengaktifkan 135 pasukan membabitkan seramai 504 anggota dan pegawai serta beberapa agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan rakyat Terengganu mematuhi SOP ketika sambutan Aidiladha.

"Rondaan di kawasan kampung dan taman perumahan mendapati tiada aktiviti ziarah dan kunjung mengunjung atau perhimpunan keluarga dalam jumlah ramai.

"Rondaan di kawasan pantai dan Jambatan Angkat mendapati ia lengang apabila tiada aktiviti lepak dan berkelah dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemantauan di beberapa lokasi ibadah korban dan tanah perkuburan mendapati aktiviti itu dilakukan mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Menurutnya, pemantauan akan dilakukan secara berkala bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP ketika melakukan aktiviti dibenarkan bagi mengekang penularan Covid-19.

"Diharapkan masyarakat negeri ini terus mematuhi SOP dan tidak mengadakan aktiviti berkumpul antara keluarga atau aktiviti lain sepanjang perayaan ini.

"Polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap individu yang sengaja ingkar dengan pematuhan SOP," katanya.

Sementara itu, Rohaimi berkata, aliran trafik di seluruh negeri seperti biasa dan tiada kesesakan lalu lintas luar biasa.

Malah, katanya, pihaknya tidak menerima laporan berkaitan cubaan rentas negeri berlaku di dua pintu masuk utama ke negeri ini iaitu di Besut dan Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:38 PM