Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi, malam kelmarin.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang membawa kepada penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang pada 7 malam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat diterima mengenai kegiatan penipuan mengeluarkan sijil vaksin kepada golongan tidak mahu disuntik atau anti vaksin.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September tahun lalu dengan setiap sijil dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

"Setakat ini, terdapat kira-kira 1,900 individu terbabit mendapatkan sijil ini dan kita sedang menyiasat sama ada semuanya tulen atau sebaliknya.

"Kita turut merampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksin yang telah menjalani dos satu, komputer riba, telefon dan sebagainya.

"Siasatan akan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menilai dan membuat pemeriksaan terhadap aplikasi MySejahtera mereka," katanya pada sidang media bersama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong.

ROHAIMI (dua dari kanan) menunjukkan  sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu pada sidang media, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
ROHAIMI (dua dari kanan) menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu pada sidang media, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Rohaimi berkata, siasatan mendapati suspek memperoleh kebenaran untuk memberikan suntikan vaksin pada September tahun lalu.

Beliau berkata, suspek dipercayai memperkenalkan kegiatan menerusi kenalan dipercayai dan siasatan awal mendapati terdapat dokumen daripada pelanggan dari Kedah dan Kuala Lumpur.

"Jika kita lihat ada pelanggan dari luar Terengganu dan tidak logik mereka ini datang ke Terengganu untuk mendapatkan suntikan di sebuah klinik di Marang dan itu antara faktor disiasat KKM.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Rohaimi berkata, pihaknya memandang serius kerana ia bukan hanya membabitkan penipuan, tetapi bencana atau musibah kesihatan kepada masyarakat umum.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran dan akan meneruskan operasi sama bersama KKM untuk mengesan kegiatan berkenaan di lokasi lain.

Katanya, tidak adil kepada masyarakat lain dikelilingi golongan ini dan sebab itu, polis akan teruskan operasi untuk mengesan pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 1:06 PM