Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Kuala Berang: Polis Terengganu tidak akan berkompromi dengan individu termasuk perantau dan pelancong yang masuk ke negeri ini tanpa melengkapkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, langkah itu bagi mengelak penularan Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada kawasan tumpuan ramai di seluruh Terengganu.

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan akan diadakan di lokasi tumpuan pelancong seperti pulau peranginan, Tasik Kenyir, kawasan rekreasi awam dan pusat beli belah dengan lebih banyak pasukan digerakkan pada cuti hujung minggu dan cuti umum.

"Kita masih menggunakan konsep menasihati (berkaitan prosedur operasi standard (SOP) namun kita tidak akan bertoleransi terhadap mereka yang bergerak merentasi sempadan (memasuki Terengganu) tanpa melengkapkan suntikan vaksinasi.

"Terengganu sendiri sudah mencapai lebih 90 peratus kadar vaksinasi, jadi kebimbangan kita kini adalah orang luar terutama mereka yang belum divaksinasi.

"Ini bukan bermakna kita tidak pantau pematuhan SOP di tempat awam sebaliknya ia tetap dilakukan kerana kita masih tertakluk kepada SOP yang ada," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan SOP pelancongan di Tasik Kenyir di sini hari ini.

Rohaimi berkata, setakat ini, tiada sebarang kompaun berkaitan pelanggaran SOP termasuk kesalahan rentas negeri dikeluarkan sejak kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri pada Isnin lalu.

DATUK Rohaimi Md Isa (tiga kanan) memberi penerangan aspek keselamatan kepada pengunjung di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir  hari ini.  FOTO Ghazali Kori
DATUK Rohaimi Md Isa (tiga kanan) memberi penerangan aspek keselamatan kepada pengunjung di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir hari ini. FOTO Ghazali Kori

Katanya, tiada sebarang sekatan jalan raya (SJR) di pintu sempadan negeri ini namun pihaknya akan menggerakkan pasukan khas untuk memantau pematuhan SOP.

"Pemeriksaan akan dibuat secara rambang di tempat tumpuan awam termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

"Berdasarkan pemantauan kita, tidak ada pergerakan masuk serentak yang mengejut ke Terengganu selepas semua SJR di sempadan ditutup.

"Aliran trafik juga masih lancar dan terkawal walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu daripada 15,000 kenderaan pada hari biasa kepada 19,000 kenderaan pada hujung minggu selepas kebenaran rentas negeri, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:17 PM