Siti Rohana Idris


Tumpat: Stor haram di tebing Sungai Golok yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang menghala ke Sungai Golok dan laluan darat rupanya dijadikan transit untuk penyimpanan rokok seludup.

Kegiatan itu terbongkar selepas serbuan dijalankan sepasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, di stor haram berkenaan di Kampung Pulau Ular pada jam 8.30 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menemui 78 peti mengandungi 3,900 karton rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk daripada Thailand.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, sebaik tiba di stor haram terbabit, pihaknya cuba memasuki premis itu namun berkunci.

"Bagaimanapun, ia berjaya dibuka oleh anggota yang masuk melalui jalan sungai (Sungai Golok).

"Sebaik pintu dibuka, terdapat timbunan kotak rokok yang diletakkan di atas tanah di tepi anak sungai dalam stor berkenaan yang dipercayai diseludup masuk daripada negara jiran," katanya ketika sidang media di markas PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN 78 peti mengandungi 3,900 karton rokok seludup yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SEBAHAGIAN 78 peti mengandungi 3,900 karton rokok seludup yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Norzaid berkata, ketika serbuan stor berkenaan tidak berpenghuni dan beliau tidak menolak kemungkinan penyeludup sudah mengetahui pergerakan pihak berkuasa menerusi CCTV yang dikawal daripada telefon bimbit.

Menurutnya, semua rokok yang berjumlah 780,000 batang itu dianggarkan bernilai RM585,000 termasuk cukai dan dipercayai untuk pasaran Kelantan dan negeri Pantai Barat.

"Turut ditemui dua buku bil resit yang mengandungi maklumat transaksi pembelian serta penjualan rokok seludup.

"Dalam kawasan stor itu juga terdapat dua bot fiber tanpa enjin berikat di tebing anak sungai, enam kereta serta lori, van dan pacuan empat roda masing-masing sebuah yang kami percaya ia digunakan untuk aktiviti penyeludupan rokok itu.

"Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah daripada kereta itu mendapati ia bersamaan dengan laporan kehilangan yang dibuat di Melor pada 2007, manakala dua lagi kereta mempunyai nombor casis berbeza," katanya sambil memberitahu pemilik stor itu sudah dikesan dan akan menjalankan tindakan lanjut.

KENDERAAN yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KENDERAAN yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Dalam perkembangan lain, Norzaid berkata, sepanjang tempoh tiga hari Op Benteng Covid-19 (Op Landai/Kontraban) Khas yang bermula 3 Julai lalu, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya menghasilkan sebanyak 11 kes di bawah pelbagai akta dengan nilai rampasan RM900,100.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok secara berterusan dan meningkatkan operasi serta memperketatkan kawalan pengairan negara daripada dibolosi sindiket penyeludupan yang dilihat sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

"Kami menyeru kerjasama orang ramai atau penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Golok agar dapat menyalurkan maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 2:47 PM