Audrey Dermawan


Georgetown: Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok selepas merampas 1,940 karton rokok bernilai RM264,750 sebelum cukai semalam.

PPM turut menahan seorang pemilik gudang berusia 40 tahun dan rakan wanita berusia 23 tahun di dua lokasi berasingan di Sungai Jawi, Nibong Tebal.

Komandan PPM Wilayah 1 Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, lelaki itu juga menawarkan wang sogokan sebanyak RM10,000 kepada pasukannya yang melakukan serbuan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya.

"Pegawai PPM sudah memberi amaran kepadanya tiga kali tetapi dia tidak mengendahkannya," katanya di Batu Uban di sini, hari ini.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Unit Perisikan PPM menangkap seorang wanita pada 6.30 petang selepas curiga dengannya ketika mendekati Perodua Axia di Taman Sri Aman, Sungai Jawi.

Katanya, pemeriksaan di dalam kereta yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara ditemukan 19 karton rokok di tempat duduk belakang kenderaan itu.

"Ketika disoal siasat oleh anggota terbabit, wanita itu mendedahkan sebuah gudang yang digunakan untuk menyimpan rokok seludup di Kampung Jawi, Sungai Jawi.

"Pasukan kemudiannya menyerbu gudang yang terletak di ladang koko pada 7.30 malam dan ditemukan beberapa kotak dan karung yang dipercayai mengandungi rokok seludup.

"Kira-kira 30 minit kemudian, seorang lelaki tiba dan mengaku sebagai pemilik gudang sebelum dia ditahan kerana memiliki dan menyimpan rokok seludup.

"Ketika itulah dia menawarkan wang RM10,000 sebagai ganjaran untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya. Kami memberi amaran kepadanya tiga kali tetapi dia mengabaikan amaran kami," katanya.

Rosman berkata, selain rokok seludup bernilai kira-kira RM264,750, wang tunai RM10,000, sebuah kereta dan motosikal turut dirampas pihaknya.

Menurutnya, jumlah rampasan keseluruhan yang dibuat pihaknya itu dianggarkan bernilai RM308,750.

"Kami percaya kegiatan mereka itu sudah beroperasi lebih setahun.

"Kami juga percaya bahawa rokok berkenaan dibawa masuk dari negara jiran melalui laut sebelum diedarkan di sini dan di luar Pulau Pinang menggunakan jalan darat," katanya.

Menurutnya, kedua-dua mereka itu direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Katanya, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Rosman Ismail (kanan) menunjukkan antara 1940 karton rokok tidak bercukai. FOTO DANIAL SAAD
Rosman Ismail (kanan) menunjukkan antara 1940 karton rokok tidak bercukai. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:10 PM