Syaherah Mustafa

Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 10,000 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta di Kampung Chempaka, Kota Bharu pada 6.30 pagi hari ini.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pihak sedang membuat risikan sebelum terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan memasuki lorong tali air dari Kampung Chempaka menghala ke Kampung Cherang.

Menurutnyaa, anggota PPM kemudiannya menahan lori berkenaan namun sebaik menyedari kehadiran pihaknya pemandu serta kelindan bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan meninggalkan lori itu.

"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui kesemua 200 kotak berisi dua juta batang rokok putih jenama John dipercayai diseludup dari Thailand.

"Anggota PPM merampas lori dan kesemua rokok untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa muatan rokok tidak diluluskan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Siasatan lanjut juga mendapati bekalan rokok ini untuk pasaran Kelantan dan Terengganu susulan permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat," katanya ketika sidang media di Markas Operasi PPM di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

NORZAID (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 10,000 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta di Kampung Chempaka ketika ditemui pada sidang media di Markas Operasi PPM di Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NORZAID (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 10,000 karton rokok seludup bernilai RM1.5 juta di Kampung Chempaka ketika ditemui pada sidang media di Markas Operasi PPM di Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Norzaid berkata, pihaknya terus komited mengekang sebarang aktiviti penyeludupan dan lintas sempadan sejajar dengan arahan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan pemantauan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Operasi terus diperketatkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 27 Januari sehingga 4 Februari.

"Namun begitu, pihak kami turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan yang mencurigakan.

"Sindiket penyeludupan terus mencari peluang menjalankan aktiviti mereka namun PPM meneruskan risikan walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 termasuk menjalinkan hubungan baik dengan pihak berkuasa dari negara jiran bagi pertukaran maklumat.

"Anggotanya juga sentiasa diingatkan untuk menjaga keselamatan diri ketika bertugas termasuk menjaga prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 2:32 PM