Siti Rohana Idris


Tumpat: Mahu mengabui mata pihak berkuasa, bangunan yang pernah dijadikan sarang burung walit dijadikan tempat transit untuk menyorok rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.

Namun kegiatan itu berjaya dikesan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) yang membuat serbuan di bangunan terletak di Kampung Dalam, di sini, pada 10 pagi semalam sempena Op Benteng Covid.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, hasil serbuan itu pihaknya menemui 19,230 katon rokok bernilai RM3 juta

"Kita menerima maklumat daripada orang awam mengenai lokasi itu yang dijadikan transit penyimpanan rokok seludup.

"Sebaik tiba di bangunan tidak bernombor itu, didapati pintu hadapannya tidak berkunci dan pegawai serta anggota masuk ke dalam sebelum mendapati ada satu lagi pintu yang berkunci dari luar.

"Anggota kami terpaksa memotong besi pintu menggunakan pemotong dan masuk sebelum menemui sejumlah bungkusan plastik di atas lantai yang mengandungi rokok seludup.

"Selepas menunggu kira-kira 30 minit, tiada individu yang datang menuntut dan anggota kami membawa semua rokok seludup itu ke Komtak Kuala Jambu," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, rampasan rokok seludup itu adalah antara yang terbesar berjaya dicatatkan setakat tahun ini.

Menurutnya lagi, rokok seludup itu dipercayai daripada China dan dibawa masuk menerusi Sungai Golok sebelum ditempatkan di bangunan burung sarang walit itu.

"Berdasarkan jenama yang tidak begitu dikenali, kami percaya rokok seludup itu adalah untuk pasaran tempatan dan sasarannya dalam kalangan warga asing.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kita sedang menjejak pemilik terkini bangunan itu dan kami difahamkan pemilik asalnya sudah meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata sejak PGA9 mengambil alih penugasan bermula 15 Oktober lalu, sebanyak 91 kes sudah dicatatkan dengan nilai rampasan bernilai RM6.9 juta.

Beliau berkata pihaknya akan terus komited menjalankan tugas dalam mengawal sempadan negara dan mengekang aktiviti penyeludupan serta rentas sempadan.

SUPERINTENDAN Nor Azizan Yusof (tengah) bersama rokok bernilai RM3 juta yang dirampas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SUPERINTENDAN Nor Azizan Yusof (tengah) bersama rokok bernilai RM3 juta yang dirampas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 12:38 PM