Siti Rohana Idris

Pasir Puteh: Pasukan Polis Marin (PPM) Tok Bali Wilayah Tiga merampas 19,000 karton rokok seludup ditemui dalam tiga bot penumpang di Kuala Besut, Terengganu jam 10.30 malam tadi.

Rokok putih jenama Zon King terbabit yang bernilai RM2.8 juta ditemui dalam 380 peti.

Ketua Bahagian Operasi Risik PPM Wilayah Tiga Deputi Superintendan Azuhar Md Nor berkata, serbuan dibuat di tebing sungai Pangkalan Ubi Keling hasil intipan selama empat jam.

"Hasil intipan, ada lima individu di sekitar kawasan berkenaan sebelum mereka melarikan diri ke hutan berhampiran sebaik menyedari kehadiran kami.

"Pemeriksaan di ketiga-tiga bot penumpang terbabit menemui rokok yang diseludup masuk dari negara jiran," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PPM Tok Bali Wilayah Tiga di sini, hari ini.

RAMPASAN 19,000 karton rokok putih dari tiga buah bot penumpang di Kuala Besut, Terengganu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RAMPASAN 19,000 karton rokok putih dari tiga buah bot penumpang di Kuala Besut, Terengganu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Azuhar berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah RM3.95 juta dan ia rampasan terbesar tahun ini.

Taktik digunakan ialah, rokok putih itu dibawa oleh kapal kargo ke tengah laut melalui perairan antarabangsa sebelum dipindahkan ke bot penumpang terbabit.

Menurutnya, bot penumpang itu akan masuk ke perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang menerusi kuala serta sungai di sepanjang pantai termasuk di laluan tikus.

"Rokok putih itu untuk pasaran Pantai Barat dan mendapat permintaan berikutan harganya yang rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:49 PM