STRUKTUR dinding bilik utama rumah Mohd Khai yang runtuh dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
STRUKTUR dinding bilik utama rumah Mohd Khai yang runtuh dihanyutkan air deras dalam kejadian banjir di sini. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Suami isteri cemas selepas dinding rumah mereka sepanjang kira-kira 15 meter runtuh dihanyutkan arus banjir pada kejadian di Kampung Kubur, Mukim 17, Batu Feringghi di sini, jam 8 pagi tadi.

Ketika kejadian, Mohd Khai Jassin, 54, dan Roziah Adom, 50, sedang mengemas perabot serta barangan di rumah yang sudah mulai dimasuki air.

Mohd Khai berkata, terdahulu, hujan lebat kira-kira satu jam menyebabkan air memasuki rumahnya.

Katanya, ketika sedang mengemas barangan, mereka sekeluarga dikejutkan dengan bunyi runtuhan dinding bilik tidur utama.

"Syukur kerana tiada sesiapa dalam bilik berkenaan. Kami hanya sempat membawa dokumen penting sebelum menyelamatkan diri," katanya ditemui.

Menurut Mohd Khai, ini kali kedua struktur itu runtuh akibat banjir dan arus deras.

Katanya, masalah banjir itu sudah lama berlaku namun kejadian kali ini adalah yang paling buruk.

"Setiap kali hujan lebat, kami diselubungi kebimbangan dan tidak lena tidur kerana risau keselamatan diri.

"Masalah banjir ini sudah diadukan kepada pihak berkaitan. Kami tidak tahu berapa lama lagi kami perlu berdepan dengan isu ini," katanya.

Penduduk, Hamid Sultan, 59, berkata, dia dan keluarganya dibawa penduduk ke tempat tinggi.

Katanya, keadaan ketika kejadian amat menakutkan kerana air cukup deras.

"Banjir kali ini dipercayai berpunca daripada struktur yang dibina di saliran air berhampiran dan ia sudah dimaklumkan kepada pejabat wakil rakyat.

"Struktur berkenaan menjadi penghalang menyebabkan air melimpah di kawasan ini, sehubungan itu kami berharap perkara berkenaan dapat di atasi segera," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung banjir jam 9 pagi.

"Tiba di lokasi, air berada pada paras kira-kira dua meter. Kami bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang membantu menyelamatkan penduduk.

"Kira-kira 30 rumah yang menempatkan 200 penduduk terjejas dan air mula surut jam 12.30 tengah hari," katanya.

Menurut beliau, APM turut menyampaikan kit bantuan makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 5:23 PM