Mohd Zaidi menunjukkan peralatan dapurnya yang dihanyutkan air. Foto Noorazura Abdul Rahman
Mohd Zaidi menunjukkan peralatan dapurnya yang dihanyutkan air. Foto Noorazura Abdul Rahman
Oleh Noorazura Abdul Rorahman


Sik: "Saya terpaksa susun batu bata di dapur untuk dijadikan tempat anak dan ibu berdiri bagi menyelamatkan diri sebelum dinding rumah runtuh akibat dilanda arus deras," kata Mohd Zaidi Nayan, 42.

Bapa kepada lima anak berusia tiga hingga 14 tahun ketika ditemui berkata, dinding ruang tamu sepanjang kira-kira 10 meter itu runtuh dalam tempoh beberapa saat menyebabkan arus deras menghanyutkan banyak peralatan rumahnya di Kampung Landai, Gulau di sini.

Katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk malah paras air meningkat sehingga kira-kira 1.5 meter.

"Hujan lebat melanda sejak jam 5 petang semalam menyebabkan paras air Sungai Sok yang jaraknya hanya kira-kira lima meter dari rumah kami melimpah. Air mula melimpah ke dalam rumah jam 7.30 petang.

"Ketika itu, dalam keadaan kelam kabut kerana kami terperangkap, saya terus mengumpulkan batu bata di dapur bagi dijadikan tempat anak dan ibu berdiri bagi mengelak dihanyutkan arus deras," katanya yang menetap di rumah itu sejak empat tahun lalu.

Mohd Zaidi berkata, sebelum itu, dia sempat mengalihkan keretanya ke jalan besar dan menolak motosikal masuk ke dalam rumah bagi mengelak kenderaan itu rosak.

Katanya, ketika kejadian, hanya dia dan anak berada di rumah, manakala isterinya, Nani Kartina Abdul Razak, 42, keluar bekerja di sebuah kilang di Kuala Ketil, Baling.

Menurutnya, ibunya, Aisyah Ahmad, 60, bapa tiri, Ariffin Ishak, 67, dan adik, Mohd Nasir, 37, yang tinggal bersebelahan turut terpaksa berlindung di rumahnya.

"Ini kerana, rumah mereka rosak dilanda arus deras banjir. Kami sembilan beranak kemudiannya diselamatkan anggota bomba jam 8.30 malam sebelum dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau," katanya.

Mohd Zaidi berkata, dia sempat meninjau keadaan rumahnya pagi tadi namun mendapati paras air masih tinggi.

"Kami tak sangka banjir kali ini begitu teruk, saya akan kembali apabila air surut. Anggaran kerosakan pula kira-kira RM30,000," katanya.

Malam tadi, 30 mangsa terdiri daripada tujuh keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS SK Gulau, selepas banjir kilat melanda Kampung Landai, Kampung Pinang dan Kampung Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 2:26 PM