TANAH terhakis akibat jumlah air sungai terlalu banyak ketika hujan menyebabkan struktur kediaman rosak dan retak dalam kejadian di Lot 132 Kampung Tasik Permai, Jalan Permai 13, Ampang, hari ini.
TANAH terhakis akibat jumlah air sungai terlalu banyak ketika hujan menyebabkan struktur kediaman rosak dan retak dalam kejadian di Lot 132 Kampung Tasik Permai, Jalan Permai 13, Ampang, hari ini.
Faris Fuad


“DINDING dan beberapa lantai (jubin) dapur serta tandas dan sinkinya dihanyut arus deras sungai,” kata penghuni rumah yang terkesan dengan banjir di Lot 132 Kampung Tasik Permai, Jalan Permai 13, Ampang, hari ini.

Muhamad Sufari Mohammad, 43, berkata kejadian 3 petang itu menyebabkan keluarganya terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas sebahagian struktur rumahnya runtuh akibat tanah terhakis susulan sungai di belakang rumahnya tidak dapat menampung air hujan.

“Alhamdulillah, tiada penghuni cedera, namun rumah kami berada dalam keadaan sangat teruk.

“Sebenarnya, banjir teruk sudah berlaku sejak Ahad lalu, ada beberapa bahagian struktur dan dinding rumah retak.

“Kami ambil keputusan untuk menetap di rumah abang saya di Bukit Tasik Permai, Ampang selepas mengesan kerosakan rumah itu.

“Nasib baik, beberapa barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk sudah dipindahkan awal, kalau tidak berpuluh ribu lagi kerugian kena ditanggung,” katanya pada NSTP, hari ini.

Sementara itu, mangsa lain, Arifan Rahim Abdullah, 27, berkata rumahnya turut terkena tempias dengan kejadian tanah runtuh itu.

“Rumah saya di Lot 132B, bersebelahan rumah Muhamad Sufari mengalami sedikit keretakan, tidak seteruk rumah jiran itu.

“Setiap tahun bila banjir memang rumah saya terkesan, saya baiki sendiri dengan kos kira-kira RM500, tetapi kali ini ia menelan kos ribuan ringgit.

“Saya harap ada pihak berkaitan tampil membantu bagi menyelesaikan isu berbangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 9:35 PM