JIRAN bantu mengangkat barang di rumah Siti Esah. FOTO Safuri Kamarudin
JIRAN bantu mengangkat barang di rumah Siti Esah. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


“Ini banjir paling teruk sepanjang tahun ini. Kebiasaan banjir hanya paras lutut, tetapi kali ini air naik sampai paras pinggang,” kata mangsa banjir, Siti Esah Yaakob.

Siti Esah, 63, dari Kampung Pekan Lalang, Baling berkata, air naik dengan cepat kira-kira 8 malam kelmarin, menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamat pelbagai barangan rumah.

“Kebiasaannya kalau hujan lebat dua jam, air hanya naik paras lutut dan hanya sebahagian rumah dimasuki air, tetapi kali ini air naik sehingga paras pinggang dan memenuhi keseluruhan rumah.

“Sebelum ini, kami sempat juga memindahkan barangan ke tingkat atas rumah, tetapi kali ini memang tidak terdaya kerana air masuk terlalu cepat,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Berikutan banjir yang semakin surut, kebanyakan penduduk kampung berkenaan sudah mula balik ke rumah masing-masing membersihkan kediaman mereka.

Siti Esah berkata, bukan setakat sampah sarap masuk ke dalam rumahnya tetapi airnya juga berselut dan melekat pada bahagian dinding.

“Aliran air Sungai Charok Bunting yang tidak diselenggara dengan baik mungkin menjadi punca air melimpah cepat dan masuk ke rumah penduduk kerana sungai itu tidak mampu menampung air yang deras.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu seperti mendalam atau membina tembok penghadang kerana masalah banjir di sini tidak akan selesai jika tiada tindakan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 11:33 AM