PENDUDUK melihat keadaan di Lata Celak, Kampung Iboi selepas berlaku arus deras dan berombak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
PENDUDUK melihat keadaan di Lata Celak, Kampung Iboi selepas berlaku arus deras dan berombak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Kira-kira 200 penduduk berhampiran Lata Celak, di Kampung Iboi di sini, cemas apabila air sungai naik dan berombak hari ini.

Penduduk, Mohamad Isa Ramli, 60, berkata, penduduk mula keluar dari rumah untuk melihat kejadian kira-kira 3.45 petang yang dianggap antara paling tinggi selepas kejadian banjir dan kepala air 4 Julai lalu.

"Kami penduduk di sini tidak pernah tenang, dari semalam hujan dan berhenti sekejap sahaja, petang ini air nampak tinggi menghampiri jambatan Bailey, air deras ini turut membawa pasir menyebabkan air nampak berombak dan bergulung.

"Saya bimbang jambatan Bailey ini akan dihanyutkan arus deras, ramai penduduk yang keluar melihat di tepi jambatan, semua orang bimbang kejadian banjir dan kepala air akan kembali berulang," katanya yang juga penjawat awam.

Mohamad Isa berkata, atas rasa tanggungjawab terhadap keselamatan penduduk, dia sering membuat pemantauan di tebing sungai sehingga jam 12 tengah malam terutama selepas seharian hujan.

Tinjauan di kampung itu mendapati, anggota polis dan jentera bomba turut berada di lokasi selepas menerima maklumat kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi, Nor Mohamad Hussain, 60, berkata, dia sangat bimbang mengenai keselamatan penduduk kampung yang berkumpul melihat kejadian itu.

Katanya, keadaan arus sungai yang deras berombak dan bergulung itu dapat dilihat apabila hujan berpanjangan.

"Mujur air deras ini hanya bawa pasir sahaja, jika ada kayu besar saya bimbang jambatan Bailey ini runtuh.

"Dalam masa sama, tidak mustahil air boleh melimpah masuk ke rumah penduduk berdekatan," katanya.

"Orang ramai mudah rasa panik dan cemas selepas kejadian banjir dan kepala air pada 4 Julai lalu, kami hidup dalam ketakutan selagi kolam takungan air untuk projek Ladang durian Musang King tidak dimusnahkan.

"Saya harap kerajaan negeri mendengar rintihan kami, kejadian ini sudah beberapa kali berlaku sejak 4 Julai lalu dan kejadian kali ini arus sungai agak deras, ramai yang masih trauma dan bimbang kolam takungan di puncak gunung pecah, kami tidak mahu menerima padah kali kedua " katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Nor Mohamad, pasir yang dibawa arus hari ini dikhuatiri akan menyebabkan sungai di Lata Celak bertambah cetek dan lebih mudah berlaku banjir selepas ini.

Arus deras itu mulai surut kira-kira jam 4.25 petang dan orang ramai turut mula bersurai selepas keadaan kembali reda.

Ends

From: Noorazura

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 9:31 PM