Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Wanita warga emas ditemukan rentung, manakala suaminya melecur dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Losong Haji Su, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 10.35 pagi, mangsa Fatimah Mohd, 79, maut dipercayai akibat terperangkap manakala suaminya, Jusoh Muda, 82, yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Ab Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.39 pagi sebelum 35 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota dikejarkan ke lokasi kejadian.

ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat seorang warga emas yang rentung dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su .FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat seorang warga emas yang rentung dalam kebakaran di Kampung Losong Haji Su .FOTO Ghazali Kori

"Sebaik tiba, rumah didiami mangsa berkenaan sudah terbakar hampir 80 peratus sebelum kerja-kerja pemadaman segera dijalankan.

"Api berjaya dikawal kira-kira 10 minit kemudian dan kita mengambil masa 30 minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran.

"Rumah didiami pasangan ini musnah 100 peratus manakala dua rumah lagi mengalami kerosakan kira-kira lima peratus akibat kebakaran itu," katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 1:42 PM