Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam bilik selepas rumahnya terbakar di Kampung Gong Datuk, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi, mangsa dikenali sebagai Senik Abdullah, 60.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.01 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan 28 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, api sedang marak membakar rumah berkenaan dan api berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian sebelum kita menemui mayat mangsa di dalam bilik.

"Ketika ini, kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dikeluarkan dari lokasi kebakaran pada 2.10 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

ANGGOTA forensik JPBM Terengganu memeriksa mayat wanita OKU ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Gong Datuk. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA forensik JPBM Terengganu memeriksa mayat wanita OKU ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Gong Datuk. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 3:29 PM